Pesta Regatta Lepa Bantu Semarak Keharmonian Kaum Di Sabah

SEMPORNA: Keunikan sambutan Pesta Regatta Lepa perlu terus dipelihara bagi memastikan khazanah budaya etnik Bajau ini dapat dipertontonkan dan didokumentasikan untuk manfaat generasi akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, sambutan acara tradisi ‘lepa’ atau ‘Perahu Tradisi’ yang dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalender pelancongan Sabah ini harus diteruskan agar kekayaan budaya ini terus dipelihara.

”Pesta sebegini berupaya menyumbang kepada pengukuhan budaya serta peningkatan semangat keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang terdapat di negeri ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak Regatta Lepa 2019, di Dataran Regatta Lepa, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pesta ini turut memberi limpahan dan impak besar kepada usaha memajukan dan mempromosikan daerah ini yang cukup terkenal sebagai destinasi pelancongan dalam kalangan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Oleh itu, Kerajaan Sabah dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan kerjasama Pakatan Harapan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan terus memelihara kepelbagaian budaya etnik yang ada di Sabah ini seiring dengan pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini.

”Bagi menguatkan, memelihara dan memperkasa keutuhan perpaduan dalam kalangan 89 etnik kaum di negara ini, kerajaan turut mengiktiraf budaya etnik yang dimiliki secara turun temurun, sama ada dalam bentuk tarian, sukan tradisi mahukan peralatan yang digunakan.

”Selain itu, pesta yang mempunyai keunikan tersendiri ini juga menjadi salah satu pakej produk dalam industri pelancongan negeri,” ujarnya.

Mohd Shafie juga melahirkan penghargaan terhadap Jawatankuasa Induk Regatta Lepa dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Regatta Lepa 2019. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *