UPKO Siap-Siaga Bantu Kemenangan Calon DAP Di PRK Sandakan

SANDAKAN: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) bersiap-siaga bagi membantu memastikan kemenangan berpihak kepada calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, Upko akan memastikan calon DAP, Vivian Wong berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi mendiang ayahnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Beliau, yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, tiga bahagian Upko yang berjiran dengan Sandakan serta kepimpinan Majlis Tertinggi parti akan meneruskan aktiviti turun padang bagi memastikan calon DAP itu memenangi kerusi Parlimen Sandakan.

‘Parti ini mempunyai 422 ahli bahagian Libaran yang menjadi pengundi di Sandakan. Manakala di Kinabatangan dan Beluran pula, kita mempunyai lebih 100 ahli Upko yang berdaftar sebagai pengundi di Sandakan.

“Kami kenal ahli-ahli UPKO disini dan kita bersiap sedia melaksanakan strategi, sekali gus membantu kemenangan calon DAP. Dengan itu, saya gesa ahli UPKO mengundi calon kerajaan dari DAP,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Upko Libaran diketuai oleh Dr Peter Jr Naintin, Kinabatangan diketuai oleh Datuk Johnny Intang dan Felix Joseph Saang mengetuai Upko bahagian Beluran.

Menteri Perdagangan dan Perindustrian ini juga yakin Vivian, 30, mewarisi aura kepimpinan ayah beliau, mendiang Datuk Stephen Wong. Vivian juga adalah Setiausaha Perhubungan Awam kepada mantan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Bandar yang meninggal dunia dipercayai akibat diserang sakit jantung pada 28 Mac lalu.

Dr Peter berkata, kepimpinan peringkat bahagian Upko akan mengadakan majlis perjumpaan bersama dengan ahli-ahli Upko yang menjadi pengundi Parlimen Sandakan pada Jumaat ini. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *