“Saya Perhati, Siapa Tidak Buat Kerja Tidak Akan Dilantik Lagi”

SANDAKAN: Buat kerja atau jawatan akan ditarik balik, tidak disambung, malah jika anda adalah wakil rakyat, jangan harap akan jadi calon lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

Demikian peringatan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada semua pemimpin masyarakat termasuk wakil rakyat dan ketua-ketua kampung agar menunaikan tanggungjawab yang diberikan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Mohd. Shafie berkata, beliau sentiasa mendapat laporan serta memerhatikan prestasi setiap pemimpin yang dilantik dan tidak akan berlembut menyingkirkan mereka jika didapati gagal memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat.

“Ada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak turun ke bawah, saya sudah perhatikan saya tahu dan sudah bagi arahan jangan hanya masa pilihan raya umum baru jumpa rakyat.

“Kalau tidak turun saya tidak akan letak calon selepas ini, ketua-ketua kampung kena main peranan bukan hanya dapat jawatan tapi kena jaga kampung masing-masing, saya akan pantau bukan sahaja ADUN, ketua kampung malah termasuk presiden perbandaran.

“Mana boleh lantik semula kita akan sambung, mana tidak boleh jangan sambung,” katanya.

Mohd. Shafie berkata demikian ketika menjawab keluhan salah seorang penduduk Sandakan dalam sesi Townhall bersama rakyat di Dewan Masyarakat Sandakan hari ini.

Dalam sesi bersama rakyat itu, Mohd. Shafie menunjukkan keprihatinan beliau terhadap rintihan rakyat apabila meminta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Peter Hee segera bertindak terhadap masalah yang ditimbulkan.

Antara yang menarik tumpuan adalah beliau memberikan tempoh seminggu kepada Peter menyelesaikan permintaan seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan lesen membuka kilang memproses minyak masak jika menepati syarat.

“Saya akan minta presiden uruskan, yang penting kalau sudah ada 30 tahun pengalaman kita tengok kalau cukup syarat uruskan dengan cepat, saya pun janji masa pilihan raya mahu buka kilang di Sandakan, Tawau, Keningau dan Lahad Datu.

“Saya minta uruskan satu minggu, MPS perlu bincang dengan Persekutuan, ini produk Sabahan kita mesti utamakan asalkan cukup syarat,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada semua yang hadir. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *