Sabah Kini Jadi Transit Dadah – Omar Mammah

TAWAU: Sabah kini menjadi transit kepada penyeludup untuk membawa masuk dadah sebelum dihantar ke negara jiran.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, bagi mengelak masalah itu berlaku, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan syarikat khidmat penghantaran barangan yang terdapat di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ditemui selepas Program Town Hall Discussion. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita dapati dadah dibawa ke negeri Sabah menggunakan perkhidmatan kurier dan ada juga menggunakan kapal terbang.

“Jadi bagi mencegah masalah ini, kita sentiasa berhubung dengan semua syarikat yang menjalankan khidmat menghantar barangan.

“Selain itu, kita turut menempatkan anggota polis bagi menjalankan pemeriksaan setiap barangan yang dibawa masuk ke Sabah,” katanya selepas Program Town Hall Discussion, di Auditorium Perpustakaan Tawau tadi.

Turut hadir, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dan Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Norazizulkifli Mansor.

Sementara itu, beliau juga tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota di Sabah yang didapati melanggar salah laku yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ada beberapa pegawai dan anggota yang sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dengan kegiatan yang melanggar undang-undang.

“Saya tidak menafikan ada pegawai dan anggota polis yang melanggar salah laku dan saya tidak dapat memberi statistik pada hari ini tetapi semua individu yang didapati salah sudah diambil tindakan oleh pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standad di Sabah.

“Saya juga sudah banyak kali menyebut untuk menubuhkan Jabatan Tatatertib untuk menyiasat dan mengambil tindakan tatatertib kepada pegawai dan anggota yang melanggar peraturan dalam PDRM,” katanya. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *