PRK Sandakan: Shir Yee tumpu majukan ekonomi, selesai rungutan rakyat

SANDAKAN: Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berhasrat mahu memajukan ekonomi daerah ini menerusi sektor pelancongan, selain menaik taraf kemudahan awam, pendidikan dan perumahan.

Shir Yee, 30, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perhubungan awam dari Murdoch University, Western Australia adalah anak bongsu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, bekas penyandang kerusi Parlimen Sandakan.

Ketika berucap selepas namanya diumumkan sebagai calon oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, hari ini, Shir Yee berkata, sebagai anak jati Sandakan, beliau memahami masalah yang kerap menjadi rungutan penduduk.

Katanya, rakyat kawasan ini sudah lama menantikan pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sandakan yang dijangka dilaksanakan tahun ini, bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan udara ke bandar Sandakan sekali gus membantu memajukan ekonomi rakyat.

“Menaik taraf tempat pelancongan akan menjadi tumpuan saya, selain infrastruktur lain seperti hospital, pembinaan kolej berasrama di hab pendidikan Sandakan dan program perumahan rakyat.

“Saya adalah anak Sandakan, dilahirkan di Sandakan, mendapat pendidikan di Sandakan dan dari kecil turut mengalami tiada bekalan elektrik waktu malam dan perlu menggunakan lilin,” katanya.

Shir Yee berkata, beliau yakin dengan kerajaan yang memahami isi hati rakyat dan projek pengukuhan sistem penghantaran tenaga yang bakal dilaksanakan tahun ini dapat mengatasi masalah elektrik dihadapi penduduk.

Bekas pegawai khas kepada mendiang Tien Fatt itu juga memberi jaminan akan mengikut jejak langkah bapanya sentiasa turun padang untuk memahami masalah rakyat tanpa mengira kaum.

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan watikah pencalonan Vivian Wong (tiga dari kiri) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) PParlimen Sandakan di Dewan Masyarakat Sandakan. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

“Saya yakin dengan sokongan dan kerjasama penuh (daripada rakyat), Sandakan dapat dibangunkan secara keseluruhannya dan dihidupkan semula selaras misi menjadikan bandar ini lebih dinamik,” katanya.

Shir Yee mula terbabit dalam politik sejak 2012 mengikut bapanya selain berpengalaman sebagai perunding kewangan di sektor perbankan di Kuala Lumpur dan pernah menjadi tenaga pengajar di International Korean School of Malaysia di Cyberjaya.

Pada PRK Parlimen Sandakan yang berlangsung 11 Mei ini, Shir Yee akan menggunakan lambang DAP seperti digunakan mendiang bapanya.

Info

Vivian Wong Shir Yee

Umur: 30 tahun

Latar Belakang Keluarga:

* Anak bongsu (anak ke-4) mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Latar belakang politik

* Menyertai DAP bersama mendiang bapanya pada tahun 2012

Pencapaian Akademik:

* Pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhubungan Awam dari Murdoch University, Western Australia (2013).

* Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur (2018).

* Diploma Komunikasi dan Media dari Inti College Subang Jaya, Selangor (2010).

* Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SMK Sung Siew, Sandakan (2006).

Pengalaman kerja:

* Perunding Kewangan sektor perbankan, Kuala Lumpur (2013-2015).

* Pengajar di International Korean School of Malaysia, Cyberjaya (2015-2018).

* Pegawai Khas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (2019)

Pengalaman Sosial:

1) Lawatan Misi Perubatan ke Indonesia pada tahun 2015, membantu mangsa gunung berapi.

2) Lawatan Misi Perubatan ke Kemboja (2015), memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada golongan susah.

3) Program pembinaan rumah untuk orang asli di bawah “Epic Homes’ Building Houses Project” di Semenyih Selangor dan Gua Musang Kelantan (2016 dan 2018); dan menyertai program bina rumah untuk orang susah di bawah “Ihsan Johor’s building Houses Project” pada tahun 2016.

4) Menyertai Kechara Soup Kitchen, mengagih makanan kepada golongan gelandangan.

– Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *