Perintah berkurung di Esszone dilanjut hingga 11 Mei

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan merangkumi tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan sehingga 11 Mei ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perintah berkurung baharu yang akan bermula esok jam 6 petang, berkuat kuasa selama 24 jam mengikut Seksyen 31(1) Akta Polis 1967.

Katanya, perintah berkurung ini akan dilanjutkan oleh Menteri Dalam Negeri untuk selama 14 hari mengikut Seksyen 31(4) Akta Polis 1967 mulai dari Sabtu ini (27 April) hingga 11 Mei ini jam 6 petang.

Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang diisytiharkan antara jam 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh berkenaan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya perintah itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Omar berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

Di samping itu, katanya, ia bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Menurutnya berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan, masih terdapat cubaan untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Omar berkata beliau juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *