Utamakan Pelajar Sabah Dan Sarawak Dalam Pengambilan Program Matrikulasi

KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah menyarankan agar keutamaan diberikan kepada Sabah dan Sarawak berkaitan dengan pengambilan pelajar ke program matrikulasi.

Pengerusinya Mazlan Johari Manan berkata pengekalan kuota 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera amat wajar dikekalkan.

Mazlan Johari Manan. Gambar Fail SNT

“Tetapi kita mahu agar Kementerian Pendidikan Malaysia memberi keutamaan kepada pelajar bumiputera daripada Sabah dan Sarawak untuk mengikuti program tersebut,” katanya di sini kelmarin.

Mazlan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Azizah Mohd Dun yang mahu agar kuota tersebut dikekalkan.

Mazlan memberitahu peluang dan keutamaan wajar diberikan kepada pelajar daripada Sabah dan juga Sarawak kerana pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri tersebut masih jauh ketinggalan.

Menurutnya persaingan yang dilaksanakan ketika ini meninggalkan jauh untuk pelajar Sabah dan Sarawak bagi mengikuti program matrikulasi.

“Peluang dan keutamaan wajar diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak…persaingan yang dilaksanakan ketika ini akan terus meninggalkan pelajar Sabah dan juga Sarawak.

“Ini disebabkan pembangunan pendidikan di Sabah dan Sarawak masih jauh jika dibandingkan dengan pembangunan pendidikan di Semenanjung,” katanya lagi.

Beliau berkata persatuan menyokong saranan agar kuota pengambilan pelajar bagi mengikuti program matrikulasi yang ada ketika ini dikekalkan tetapi pada masa yang sama keutamaan diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *