Pelaburan Bernilai RM20 Bilion Dijangka Dibawa Masuk Ke Sabah

KOTA KINABALU: Pelaburan dalam sektor perindustrian bernilai hampir RM20 bilion dijangka akan dibawa masuk ke Sabah sekiranya 12 Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan beberapa syarikat China dapat direalisasikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, MoU yang dimeterai itu dijangka akan diikuti dengan perjanjian perniagaan berikutnya dalam masa terdekat ini sekiranya syarikat terlibat bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam pembangunan sektor perindustrian di Sabah.

Beliau berkata, walaupun pada kebiasaannya tidak semua MoU yang ditandatangani dapat dijayakan namun, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) akan membuat tindakan susulan bagi memastikan MoU itu dapat direalisasikan.

“Kita akan minta MTI untuk memudahkan proses itu agar kerjasama berkenaan dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba daripada Lawatan Kerja selama tiga hari ke China, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kesemua MoU itu ditandatangani dengan beberapa syarikat China yang berada di Shenzen dan Jiangxi ketika beliau mengetuai delegasi lawatan kerja bersama 32 usahawan perindustrian ke China.

Mohd Shafie berkata, perbincangan yang dilakukan melibatkan pembangunan dalam industri kaca, perabot, hartanah dan pendidikan.

”Namun, kita memberi penekanan kepada pembangunan industri perabot dan kaca yang dilihat mampu dijayakan dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Katanya, syarikat China menunjukkan minat untuk melabur di Sabah berikutan lokasi negeri ini yang strategik dan kaya dengan bahan mentah yang mudah diperolehi.

Beliau berkata, perbincangan mengenai pembangunan industri kaca di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sabah sudah memasuki perbincangan peringkat akhir. Jika pelabur China bersetuju menjayakan kerjasama dalam industri kaca itu, pelaburan bernilai USD 1bilion akan dibawa masuk ke Sabah.

Mohd Shafie berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat industri perabot China yang menjana keuntungan bernilai RM1.3bilion setahun. Syarikat itu hanya memasarkan produk perabot di sekitar China.

”Jika kita mampu bekerjasama dengan syarikat yang membuat perabot dengan menggunakan kayu dari pokok getah ini, ia akan membantu penggiat industri perabot di Sabah,” jelasnya.

Dalam bidang pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut berkerjasama dengan Huawei dalam membangunkan teknologi maklumat. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *