Kompleks Kebudayaan Sabah ala di Hong Kong bakal diwujud


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong

SEMPORNA, 24 April – Sabah berhasrat mewujudkan sebuah kompleks kebudayaan ala Pusat Kebudayaan Hong Kong bagi memartabatkan warisan seni dan budaya suku kaum di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata perkara itu sudah dibangkitkan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, bagi penubuhannya kemungkinan di pantai timur Sabah.

“Saya sudah risik-risik dengan Datuk Mohamaddin supaya ada satu kompleks budaya di Sabah seperti di Hong Kong, bahkan mungkin (wujud) di pantai timur Sabah,” katanya selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Bajau mengenai agenda maritim (Iconbajau) serta perasmian Festival Igal Antarabangsa (FIA) 2019 di sini hari ini.

Menerusi kompleks itu, beliau berkata kombinasi keunikan budaya yang terdapat di negeri ini dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Mengenai FIA 2019, Jaujan berharap platform seumpama itu dapat diteruskan dalam usaha mengangkat serta mengekalkan warisan tari budaya Bajau.

Justeru, beliau berkata keperluan menubuhkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Sabah agar usaha memartabatkan kebudayaan semua suku kaum dapat dilaksana secara konsisten.

“Saya juga ada bisik-bisik (penubuhan Aswara Sabah) dengan Datuk Mohamddin, kerana sekarang kita cuma ada klinik budaya Aswara,” katanya.

Selain itu, Jaujan berharap karya penulisan kebudayaan di Sabah dapat diterokai dan dibukukan sebagai bahan bacaan.

“Di Sabah kita ada banyak sumber seperti biologi marin dan perhutanan yang dibukukan tetapi untuk sumber kebudayaan kita masih kurang.Jadi, belia yang ada pendidikan tetapi belum mendapat pekerjaan boleh mengambil peluang terokai bidang penulisan kebudayaan kerana ia juga boleh mempopularkan budaya negara,” katanya.

Jaujan berkata sumber kebudayaan di Sabah belum diterokai sepenuhnya dan kebiasaannya sumber berkenaan hanya dilihat sewaku perayaan misalnya Pesta Kalamaran, Festival Regatta Lepa, Pesta Rumbia serta Pesta Kaamatan.

Kebudayaan penting dipromosikan sebagai produk pelancongan yang menjana pendapatan negeri, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *