Kerajaan nafi promosi pameran Doraemon sempena TMM 2020

Datuk Mohamaddin Ketapi

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan pameran lukisan bertemakan kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon sebagai sebahagian bahan tarikan dan promosi pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata kenyataan Pengerusi Balai Seni Negara, Datuk Rashidi Hasbullah berkenaan perkara itu bersifat peribadi dan bukan dipersetujui MOTAC bagi tujuan promosi TMM 2020.

“Saya tidak pernah meluluskan sebarang gerak promosi membabitkan watak kartun animasi Jepun itu dan ia sama sekali tidak termasuk dalam promosi kita.

“Sebaliknya ia adalah kenyataan peribadi pengerusi Balai Seni Negara ketika menghadiri majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), bulan lalu.

“Ia cadangan beliau dan jika perkara itu diangkat kepada saya, saya tidak akan luluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamaddin berkata, jika usaha mempromosi watak kartun animasi Jepun itu benar-benar berlaku, sudah pasti ia dijelaskan beliau ketika sesi sidang media prestasi kementeriannya, Isnin lalu.

“Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan apa viral di media sosial itu dan saya berharap kenyataan ini dapat memberi gambaran jelas kepada umum.” katanya.

Beliau menegaskan, jika MOTAC mahu mengangkat watak animasi, sudah semestinya beliau akan memilih watak kartun yang popular di Malaysia dan bukannya dari negara lain.

“Saya berharap perkara viral ini tidak lagi diteruskan kerana ia akan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Dalam satu majlis pada 11 Mac lalu di klia2, Rashidi dilaporkan bercadang mengadakan pameran lukisan bertemakan kartun Doraemon sempena TMM 2020.

Rashidi dilaporkan berkata, pameran lukisan berkenaan secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana Doraemon mempunyai ramai peminat di seluruh negara.

Laporan mengenai perkara itu bagaimanapun viral sejak semalam hingga mengundang reaksi pelbagai pihak. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *