Digari, tutup mata, ditembak

KEJADIAN itu cetuskan kekecohan antara tentera Israel dan penduduk Palestin. FOTO Agensi

BAITULMAQDIS: Seorang remaja Palestin ditembak dua kali di pahanya dalam keadaan bergari dan ditutup mata, kejadian yang dianggap pertubuhan hak asasi manusia sebagai bukti jelas kekejaman tentera Israel terhadap penduduk awam Palestin.

Osama Hajahjeh, 16, berkata, kejadian berlaku minggu lalu, selepas pengebumian seorang guru sekolah di perkampungan Tuqu yang mati akibat dilanggar kereta dipandu penduduk Israel ketika mangsa melintas persimpangan jalan.

AFP melaporkan, menurut Hajahjeh, selepas upacara itu dia dijatuhkan tentera yang melompat keluar dari celah pokok zaitun dan menekannya ke tanah sebelum digari dan matanya ditutup tanpa sebarang sebab.

“Mereka menembak (paha) saya ketika saya mahu membetulkan kedudukan kerana mereka mendudukkan saya di atas ranting tajam.

HAJAHJEH menjalani dua pembedahan di sebuah hospital dekat Baitiullaham. FOTO Agensi

“Saya bangun dan berjalan ke arah kampung untuk mendapatkan bantuan apabila sekali lagi saya ditembak, kali ini mengenai paha kiri,” katanya.

Menurut Hajahjeh, dia tidak terbabit dalam kejadian melempar batu terhadap tentera Israel dan menurut gambar yang dirakam jurugambar tempatan, tentera Zionis dilihat mengejar Hajahjeh yang ditutup mata manakala tangan bergari ke belakang.

Kejadian itu mencetuskan kekecohan dengan tentera Israel dan penduduk Palestin menjerit antara satu sama lain dengan remaja terbabit terbaring di atas tanah. Seorang tentera dilihat menggunakan tali pinggang remaja itu mengikat pahanya bagi menghentikan pendarahan.

Rakaman video juga menunjukkan tentera Israel yang bertutup muka menjerit sambil mengacukan pistol ke arah sekumpulan penduduk Palestin ketika Hajahjeh terbaring.

Remaja itu kemudian dibawa tentera dan dua lelaki Palestin untuk rawatan. Dia menjalani dua pembedahan di sebuah hospital dekat Baitiullaham.

TENTERA Zionis mengejar Hajahjeh yang ditutup mata manakala tangan bergari ke belakang. FOTO Agensi

Dalam kenyataan, tentera Israel berkata Hajahjeh ditahan kerana terbabit aktiviti ‘melontar batu besar-besaran’ terhadap tentera.

Kenyataan itu mendakwa remaja terbabit ditembak ketika cuba melarikan diri namun tidak menyebut mengenai mangsa digari dan ditutup mata dan kes disiasat.

Bapa mangsa, Ali, berkata: “Hanya orang gila menembak budak yang ditutup matanya.”

Kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem, dalam kenyataan berkata, kejadian itu yang terbaru membabitkan tindakan ganas dan kejam tentera Israel menembak kanak-kanak dan remaja Palestin sewenang-wenangnya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *