KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman terlibat dalam kemalangan motosikal dekat Bukit Kelawat pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan telah dihantar ke Hospital Tuaran.
Azis menyertai konvoi Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sempena promosi Regatta Lepa yang dirasmikan olehnya di Dataran DBKK awal pagi.
Difahamkan Azis terjatuh dan diseret motosikal sekitar jam 10 pagi di selekoh semasa menuruni bukit ke Ranau.
Ambulans yang mengiringi konvoi membawa beliau ke hospital terdekat iaitu Hospital Tuaran sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth.
Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil.-SabahNewsToday