Tetak bapa saudara sendiri

Gambar Hiasan

KENINGAU: Seorang lelaki bertindak menetak kepala bapa saudaranya sendiri menggunakan pisau pemotong daging selepas mangsa menegurnya kerana bertengkar dengan ibunya disebabkan pengecas telefon bimbit di Kampung Pononoburan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 57 tahun terpaksa dirawat di Hospital Tambunan dan menerima enam jahitan di bahagian kepalanya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa melihat adik perempuannya bertengkar dengan anak lelakinya iaitu suspek selepas dia tidak menemui alat pengecas telefon bimbit.

Mangsa kemudian menegur suspek supaya tidak bertengkar dengan ibunya sendiri disebabkan perkara kecil.

Bagaimanapun lelaki itu marah dan terus mengejar ibunya dengan sebilah pisau sebelum dihalang oleh mangsa.

Suspek kemudian bertindak menetak kepala mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa yang mengalami pendarahan teruk kemudian dikejarkan ke Hospital Tambunan untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan suspek sudah dikenal pasti.

“Selepas kejadian itu, suspek berusia 32 tahun telah melarikan diri dan usaha mengesannya giat dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *