Ramlee Saman Askar, Akhbar Berikutan Penahanannya Berhampiran Sempadan Filipina

Ramlee Marahaban

KOTA KINABALU: Bekas pembantu menteri Sabah memfailkan saman ke atas Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB) kerana didakwa memfitnah susulan penahanannya di perairan Semporna sebelum ini kerana disyaki penceroboh bersenjata.

Datuk Ramlee Marahaban yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menamakan Brigedier Jeneral Datuk Zarondin Md. Amin sebagai defendan dalam tuntutan tersebut.

Dalam tuntutannya, Ramlee mendakwa kenyataan media oleh Zarondin telah menjejaskan reputasinya sebagai ahli politik dan ahli perniagaan.

Beliau turut menamakan akhbar Harian Metro dan syarikat penerbitannya, New Straits Press Berhad sebagai defendan kerana menyiarkan laporan tentang kenyataan media itu yang kemudiannya tular di media sosial.

Ramlee yang telah membuat laporan polis berkata, beliau memfailkan saman kerana pasukan tentera enggan menjelaskan dan meminta maaf berhubung kenyataan akhbar yang dikeluarkan menyebabkan insiden penahanannya tidak dinilai mengikut perspektif sebenar.

Jelasnya, kenyataan media berhubung penahanannya dan empat yang lain menyebabkan beliau dilihat seperti individu berbahaya yang terlibat dalam aktiviti menceroboh sempadan sehingga menjejaskan reputasinya.

Katanya, pihak berkuasa turut menyebarkan gambarnya dan ahli keluarganya sehingga dianggap mempunyai kaitan dengan penjenayah.

Pada 11 April lalu, Ramlee bersama anak dan tiga anak saudaranya ditahan pihak ATB2 yang memintas bot laju digunakannya berhampiran sempadan laut Filipina selepas kapal yang bergerak laju itu dikesan di dalam radar.

Beliau ditemukan tanpa dokumen dan dilengkapi senjata seperti pistol, senapang dan peluru sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Kesemuanya kemudiannya dibebaskan selepas identiti mereka dikenal pasti.

Menurut Ramlee, beliau tidak berpuas hati apabila kenyataan media tidak menyatakan tentang lesen senjata api yang dimilikinya dan mereka bukannya penceroboh.

Saman berkenaan, menuntut kerugian yang belum dinyatakan difailkan tetuan Marcel Jude dan Co. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *