PRK Sandakan: UMNO, MCA Sabah sokong kempen pembangkang mesra BN

SANDAKAN: Parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah akan menyokong kempen mana-mana parti dari blok pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei ini.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pihaknya terbuka kepada mana-mana parti blok pembangkang yang serius termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) jika mahu mendapatkan bantuan UMNO.

Katanya, meskipun tiada sebarang pakatan dibuat antara UMNO dan PBS ketika ini, namun pihaknya bersedia menghulurkan bantuan untuk memenangkan calon pembangkang pada PRK itu.

“Kita sudah bersedia sejak selepas PRK Parlimen Sandakan diumumkan. Sehingga semalam, anggota kita bekerja untuk merekrut jentera dan untuk kawasan Sandakan saja, kita kenal pasti ada antara 7,000 hingga 8,000 ahli UMNO.

“Jika ada (parti pembangkang) yang serius dan datang berjumpa, kita sedia beri kerjasama untuk gerakkan jentera bantu kempen mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MCA Sabah, Lee Wan Tung, berkata parti itu akan memberi kerjasama dan sokongan penuh terhadap parti pembangkang mesra BN untuk memastikan kemenangan calon pada PRK itu.

“Kita (MCA Sabah) tidak akan letakkan calon, namun akan sokong parti pembangkang yang mesra BN,” katanya.

Semalam, Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan BN tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada PRK itu.

Mohamad berkata, keputusan itu dibuat kerana BN belum bersedia menyertai mana-mana PRK di Sabah selepas kehilangan negeri berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, bagaimanapun sedia menyokong mana-mana parti pembangkang lain mesra BN.

Sehingga hari ini, hanya PBS mengesahkan akan bertanding pada PRK itu, manakala parti pembangkang tempatan yang lain termasuk Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memutuskan untuk tidak bertanding, sebaliknya hanya memberi sokongan kepada calon PBS.

Tiga calon Bebas juga sudah mengumumkan untuk bertanding iaitu peniaga, Chia Siew Yung; bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat dan bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah.

DAP pula dijangka akan mengumumkan calon Khamis ini dalam sidang media yang bakal dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *