Sampai hati ayah

KANAK-KANAK itu menangis selepas dikurung di dalam sangkar anjing. – Agensi

SEORANG lelaki disiasat selepas mengurung anak perempuannya di dalam sangkar anjing malah sanggup memijak kepala kanak-kanak itu sebelum menghantar gambar dan video aksi berkenaan kepada bekas isterinya semata-mata untuk membalas dendam.

Daily Mail melaporkan, bapa kanak-kanak itu, Xu Qian turut mendera anaknya yang berusia 20 bulan di rumahnya di Caitang Town di wilayah Guangdong Selatan China.

Beberapa foto turut dihantar kepada Xu Ting, ibu kanak-kanak itu termasuklah gambar lebam dan luka pada badan anaknya.

Walaupun bukti boleh digunakan untuk mendakwa Xu Qian tetapi terdapat kemungkinan lelaki itu tidak dikenakan sebarang hukuman kerana polis memberitahu suspek mendera anaknya kerana tertekan.

Penjelasan polis itu menyebabkan Xu Ting tidak berpuas hati dan mendakwa dia sebelum ini pernah menjadi mangsa pukul bekas suaminya itu.

“Mereka (polis) memberi alasan lelaki tertekan dan wanita pula perlu bertimbang rasa. Polis itu juga lelaki dan mereka sebenarnya membantu satu sama lain.

XU Qian memijak muka anaknya. – Agensi

“Saya sering didera dan setiap kali polis dipanggil, mereka hanya mengkritik dan menasihatinya tetapi tidak menahannya,” kata wanita itu.

Selepas gambar kanak-kanak itu yang dikurung di dalam sangkar dan dipijak oleh Xu Qian tersebar di media sosial serta dikongsi lebih 38,000 kali, ramai pengguna Internet mendesak polis mengambil tindakan tegas.

Ramai pengguna Internet mahu lelaki itu dikenakan hukuman berat kerana tergamak mendera anaknya yang masih kecil.

Sementara itu, polis memberitahu, siasatan kini dijalankan terhadap Xu Qian selepas pihaknya menerima banyak gambar yang menunjukkan penderaan terhadap kanak-kanak itu.

Menurut polis, kanak-kanak itu dijaga oleh bapanya selepas pasangan berkenaan bercerai. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *