Perkhidmatan feri pelancong Tawau ke Semporna bakal beroperasi

TAWAU, 22 April – Sebuah feri baharu daripada Sibu, Sarawak akan digunakan untuk memberikan perkhidmatan membawa pelancong dari Tawau ke Semporna dalam tempoh terdekat ini, kata Pembantu Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah, Datuk Abd Muis Picho.

Katanya, feri yang boleh memuatkan sehingga 160 penumpang dalam satu masa itu, akan tiba di daerah ini pada bulan hadapan, sekali gus melaksanakan perkhidmatan membawa pelancong ke Semporna.

“Feri yang sama telah tiba di KK (Kota Kinabalu) dan sedia bawa pelancong ke pulau-pulau di sekitar sana, jadi (feri) di Tawau ini akan sampai pada bulan hadapan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutupan Karnival Promosi Jualan Makanan dan Pameran Barangan Sempena Tahun Melawat Tawau 2019 di sini hari ini.

Abd Muis berkata inisiatif mewujudkan perkhidmatan feri berkenaan, merupakan cadangan yang sudah lama dirancangkan, bagi mengetengahkan produk pelancongan di daerah Tawau.

“Pelancong menggunakan lapangan terbang Tawau untuk masuk ke Semporna, jadi selepas ini kita mahu mereka ini bukan hanya sampai di lapangan terbang, tetapi turut meneroka Tawau dahulu.

“Bukan tak ada produk pelancongan di Tawau, kita ada Pulau Sebatik yang di dalamnya ada penyu, Proboscis Monkey, ikan lumba-lumba, kelip-kelip dan juga ada Pasar Tanjung,” katanya lagi.

Terdahulu beliau memuji penganjuran karnival tersebut dan berharap aktiviti berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan mengambil pendekatan mengetengahkan produk tempatan

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *