Bayi 2 bulan meninggal dunia dalam pesawat KL-Perth

Sebuah ambulans dilihat menunggu di luar pesawat AirAsia ketika ia tiba di Perth susulan kematian bayi berusia dua bulan dalam pesawat dari Kuala Lumpur pagi ini. -Foto ABC News

PERTH: Seorang bayi berusia dua bulan dilaporkan meninggal dunia dalam pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia, lapor laman web abc.net.au hari ini.

Bayi malang itu dilaporkan mengalami apa yang digelar syarikat penerbangan sebagai “kecemasan perubatan” ketika berada dalam penerbangan D7236 yang tiba dari ibu kota Malaysia itu awal pagi ini.

Seorang jurucakap AirAsia mengesahkan, pasukan pakar perubatan dan polis Australia Barat (WA) menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth di sini.

Pihak berkuasa masih menyiasat insiden itu dan akan menyediakan laporan kepada pegawai bertanggungjawab.

Seorang jurucakap media polis WA berkata, tidak wujud situasi mencurigakan berhubung kematian bayi terbabit.

AirAsia tidak akan mengeluarkan butiran lain mengenai insiden itu.

“Kami tidak dapat mengulas lanjut berhubung situasi perubatan bayi itu, bagaimanapun pihak kami mengucapkan takziah kepada keluarga bayi malang berkenaan,” kata jurucakap AirAsia dalam satu kenyataan.

Pegawai dilihat meninggalkan pesawat pagi ini membawa bukti berupa beg kertas besar berwarna perang.

Seorang kakitangan lapangan terbang dilihat membawa kereta bayi keluar dari pesawat. Pesawat sama dijangka berlepas 6.50 pagi menggunakan kod D7237 dari Perth ke Kuala Lumpur, namun terpaksa ditunda akibat kecemasan.

Sehingga jam 9.30 pagi waktu tempatan, pesawat itu masih berada di landasan sama.

Jurucakap AirAsia memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berkata syarikat akan membantu pengguna membuat tempahan tiket baharu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *