PDRM tawar diskaun 50 peratus saman trafik

KOTA MARUDU: Orang ramai yang mempunyai saman trafik tertunggak ditawarkan diskaun sebanyak 50 peratus pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri yang akan diadakan di Dataran Bengkoka, Pitas, 1 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata kaunter diskaun saman akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang sempena majlis pelancaran itu nanti.

“Kaunter dibuka di kawasan berhampiran Indah Chalet di Dataran Bengkoka Pitas bermula jam 8 pagi untuk mereka yang mempunyai saman trafik.

“Bagaimanapun, pengurangan sebanyak 50 peratus ini tidak tertakluk untuk beberapa kesalahan seperti saman bagi kes kemalangan, saman memandu tanpa lesen memandu, saman sekat (blacklist), saman bagi kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, saman Op Selamat 2019 dan saman yang membabitkan kenderaan lori,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Izaan meminta orang ramai supaya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pengurangan saman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari berkenaan.

“Sebelum hadir ke kaunter, pengunjung dinasihatkan untuk menyemak dan mencetak terlebih dahulu saman yang hendak dibayar di balai polis trafik berhampiran bagi memudahkan urusan.

“Semakan saman juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Manakala untuk sebarang pertanyaan berhubung kelayakan pengurangan saman boleh berhubung terus dengan Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu atau di talian 088-661066, 088-661092, 088-661093 dan 088-663305,” katanya.

Mohd Izaan juga memaklumkan PDRM turut membuka kaunter saman di Semporna sempena Pesta Regatta Lepa pada 26 hingga 27 April ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *