Green Food Corridor diwujudkan di Kinabatangan

KOTA KINABALU: ‘GREEN Food Corridor’ akan diwujudkan bagi beberapa kawasan di Kinabatangan bagi mengurangkan konflik antara manusia dan gajah di kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, langkah itu sudah dipersetujui bersama antara kementeriannya bersama beberapa pihak berkepentingan.

Katanya, ia juga sekaligus mengekalkan dan memulihara habitat gajah sekaligus memberi laluan selamat bagi gajah untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.

” Koridor ini telah dikenalpasti dan pemilik-pemilik kawasan tersebut telah bersetuju secara dasar untuk membenarkan kawasan mereka dijadikan laluan gajah.

” Kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti juga akan ditanam oleh pemilik kawasan berkenaan dengan tumbuhan yang menjadi makanan gajah.

” Usaha ini dibuat sebagai usaha untuk menambah kawasan keliaran dan juga makanan tambahan bagi gajah,” beliau berkata demikian semasa memyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di sini pada Khamis.

Christina yang  juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, usaha memelihara kekayaan kepelbagaian warisan budaya dan kepercayaan etnik negeri ini juga akan dipertingkatkan.

Katanya, Ia penting memandangkan budaya berperanan dalam memperkukuhkan hubungan sesebuah masyarakat serta mewujudkan rasa cinta dan setia kepada bangsa, negeri dan negara.

” Kementerian saya melalui Jabatan Muzium Sabah dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah akan melipat ganda usaha memelihara, mendokumentasi, mempamer, mengekal dan menyebar ilmu berkaitan khazanah warisan negeri (warisan ketara dan tidak ketara).

” Usaha untuk menerbitkan inventori pelbagai budaya suku kaum sedang dibuat bagi memastikan rekod tersebut kekal menjadi hak milik etnik berkenaan sebagai warisan dan harta intelek,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa Majlis Tindakan Pelancongan Daerah (MTPD) di kawasan masing- masing bergiat aktif mempromosi kawasan pelancongan yang ada selain mengemukakan pemohonan kepada kementeriannya jika memerlukan kemudahan prasarana asas untuk dipertimbangkan.

Bagi daerah yang belum mempunyai MTPD, beliau juga memohon kerjasama Yang Berhormat (YB) di kawasan masing- masing untuk mendorong Pegawai Daerah, selaku Pengerusi MTPD untuk menubuhkan atau mengaktifkannya.

” MTPD berperanan menyelaras aktiviti-aktiviti pelancongan dan menyenaraikan produk-produk pelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan.

“Di samping itu, ia juga merupakan landasan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai aktiviti-aktiviti pelancongan yang boleh diceburi oleh mereka,” katanya.

Bagi mencapai sasaran pendapatan RM8.53 bilion menerusi ketibaan empat juta pelancong di negeri ini beliau berkata, usaha akan terus dipertingkat bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa melalui kaedah promosi.

Katanya, setakat ini, Sabah mempunyai 220 penerbangan terus antarabangsa seminggu daripada 25 destinasi antarabangsa, dan Mei depan pula, satu syarikat penerbangan akan mengadakan penerbangan terus dari Daegu Korea. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *