Saya kini Presiden Indonesia – Prabowo

PROBOWO melakukan sujud syukur bersama beberapa penyokongnya. – Foto Kompas.com

JAKARTA: Prabowo Subianto mendakwa dia kini Presiden Indonesia selepas mengumumkan memenangi Pilihan Raya Presiden hari ini dan dia turut meraikan kemenangan itu bersama penyokongnya dengan melakukan sujud syukur.

Kompas.com melaporkan, Prabowo mendakwa jumlah kiraan cepat yang dilakukan secara dalaman oleh pihaknya mendapati dia dan calon Naib Presiden, Sandiaga Uno memperoleh 62 peratus undi.

Bagaimanapun, kiraan cepat yang dilakukan oleh beberapa agensi bebas menunjukkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menang dengan memperoleh lebih 54 peratus undi berbanding Probowo yang hanya mendapat 45 peratus undi.

Kiraan pantas adalah keputusan diambil daripada jumlah undi yang dikira di semua pusat pengundian tetapi pengumuman rasmi biasanya mengambil masa selama beberapa minggu.

“Ini adalah hasil undian sebenar di lebih 320,000 pusat pengundian,” kata Prabowo yang disambut dengan sorakan penyokongnya.

Namun, Sandiaga dilaporkan tidak berada bersama Prabowo ketika dia membuat pengumuman itu.

Prabowo juga yakin peratusan itu tidak berubah banyak hingga semua undian dikira dan tidak bebeza dengan keputusan rasmi yang bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ini kemenangan bagi rakyat Indonesia. Saya akan menjadi presiden seluruh rakyat Indonesia. Bagi saudara yang menyokong calon 01 (Jokowi), tetap akan saya bela.

“Saya sudah menjadi presiden seluruh rakyat Indonesia,” ujarnya.

Selepas mengumumkan kemenangan itu, Probowo melakukan sujud syukur dan disambut dengan sorakan penyokongnya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *