Persidangan DUN Sabah: Kedai makan baharu wajib pasang perangkap lemak

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong

KOTA KINABALU: Premis menjual makanan yang baharu di Keningau diwajibkan memasang perangkap lemak sebagai syarat pembaharuan lesen bagi mengelak sisa minyak mengalir ke parit awam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, berkata ia antara beberapa langkah yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kementeriannya melalui Majlis Daerah Keningau bagi menanggani masalah longkang dan parit tersumbat di daerah itu.

“Beberapa inisiatif yang dilaksanakan dalam usaha menangani masalah longkang dan parit yang mengeluarkan bau akibat sampah tersumbat, termasuk syarat dalam lesen mewajibkan pemasangan perangkap lemak bagi premis makanan baharu dan dalam syarat pembaharuan lesen.

“Selain itu, parit atau longkang turut ditutup dengan bongkah supaya tidak terdedah kepada persekitaran,” katanya menjawab soalan Robert Tawik (STAR-Bingkor) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Katanya, aktiviti gotong-royong membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat turut dilaksanakan bagi tujuan sama.

“Setakat Mac lalu, daerah Keningau telah melaksanakan tujuh aktiviti gotong-royong dan pembersihan parit secara berkala yang dilaksanakan oleh Unit Parit Majlis Daerah Keningau.

“Sekiranya didapati ada pihak membuang sampah di merata tempat, mereka akan dikenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap Seragam 2010,” katanya.

Sementara itu, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar, berkata proses pemilihan calon ketua kampung dilakukan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan pegawai daerah kawasan berkenaan dan berdasarkan tatacara sedia ada.

“Mekanisme senarai nama pemilihan calon boleh ditentukan berdasarkan kemahuan masyarakat setempat di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, kerajaan negeri bersedia menimbang dan menerima cadangan masyarakat bagi perlantikan ketua kampung oleh penduduk kawasan berkenaan.

“Berhubung perlantikan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pula, ia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya menjawab soalan pertanyaan Datuk Jeffrey G Kitingan (STAR-Tambunan). – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *