Mahu bertanding kerana rasa bertanggungjawab

Sulaiman bakal bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Parlimen Sandakan. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: ‘Bukan tidak hormat mendiang (Datuk Stephen Wong Tien Fatt), tapi saya mahu teruskan legasinya’.

Itu kata bekas Pembantu Tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat, 36, yang mengumumkan bakal bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei ini.

Sulaiman yang mendakwa berhenti kerja di pusat khidmat itu sejak 5 April lalu selepas bertugas lebih dua tahun berkata, dia mengambil keputusan untuk bertanding kerana tidak yakin dengan kepemimpinan yang ada, selain atas faktor anak jati Sandakan dan lebih memahami isu rakyat di kawasan itu.

“Misi saya adalah untuk memperkasa kebajikan rakyat di bawah terutama golongan miskin dalam soal seperti perumahan, untuk pembangunan Islam dan menyusun semula struktur

pentadbiran di kawasan Parlimen Sandakan.

“Bukan niat saya untuk lawan ‘boss’, tapi saya terpanggil dan berasa bertanggungjawab untuk bertanding di kerusi ini kerana saya tahu apa masalah dihadapi penduduk dan apa mekanisme boleh diambil untuk selesaikan,” katanya.

Sulaiman berkata, antara isu utama yang membelenggu rakyat khususnya golongan miskin di kawasan parlimen itu adalah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang beliau yakin dapat ditangani sekiranya penempatan terancang diwujudkan, selain beberapa isu seperti bandar ‘mati’.

Bapa kepada tiga anak itu turut mendakwa berkecimpung dalam politik sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan pernah berada dalam Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) sebelum menyertai DAP.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, berkata beliau ada menerima laporan mengenai bekas pembantu tadbir itu yang mahu bertanding sebagai calon Bebas dan ia adalah kehendak sendiri.

“Tak pasti jika dia ahli DAP, itu perlu periksa di cawangan. Saya tak berapa mengenalinya, apa yang saya tahu dia pernah ikut mendiang (Tien Fatt),” katanya.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Setakat ini, dua calon Bebas sudah mengumumkan untuk bertanding pada PRK itu iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah dan bekas pengurus operasi di syarikat perladangan kelapa sawit, Chia Siew Yung. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *