Kerajaan Sabah setuju had umur minimum kahwin 18 tahun

AIDI Moktar

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di negeri ini.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar, berkata justeru sudah dicadangkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, Enakmen Mahkamah Anak Negeri dan undang-undang lain berkaitan, dipinda.

“Ia bakal dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang untuk dipinda,” katanya pada persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aidi berkata, Kerajaan Sabah dalam proses merangka naik taraf Mahkamah Anak Negeri bagi memantapkan lagi institusi berkenaan, sekali gus menjadikannya lebih profesional dan efisien setanding Mahkamah Sivil serta Syariah.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan memperkasakan sekolah agama di Sabah dengan menaik taraf institusi berkenaan dan membuat penyusunan semula jawatan guru agama supaya setara guru bawah Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, kementeriannya berhasrat melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), untuk mewujudkan institusi tahfiz dan teknikal sama ada peringkat sijil atau diploma.

“Kementerian juga akan menghimpunkan semua sekolah tahfiz bawah satu pengurusan dan pengawalseliaan. Diharapkan dengan adanya inisiatif kerajaan untuk mewujudkan institusi pengajian tinggi terutama yang berorientasikan ajaran agama, belia kita akan terhindar daripada gejala sosial negatif,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick, berkata sebanyak 445 rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bina baharu diperuntukkan kepada Sabah, tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 225 rumah bina baharu akan dilaksanakan dalam fasa satu. Selain itu, sebanyak 1,740 PPRT baik pulih pula akan dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan melalui agensi mereka, iaitu GIATMARA.

“Pada peringkat kementerian saya, kita akan menggunakan peruntukan bagi menyediakan rumah PPRT, terutama untuk peserta program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di tiga kawasan dicadangkan tahun ini, iaitu MESEJ Mansalu Ranau, MESEJ Tukar Pitas dan MESEJ Timpangoh Laut Penampang,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *