Kerajaan Mahu Hentikan Dasar Sewa Sepanjang Hayat PPRT

Jaujan Sambakong, kiri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang melakukan rundingan untuk menghentikan dasar ‘sewa sepanjang hayat’ yang digunakan Barisan Nasional (BN) selama ini di semua Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang ada di negeri ini dan menggantikannya dengan sewa beli.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, langkah tersebut diambil selepas mendengar keluhan rakyat yang masih belum memiliki kediaman sendiri, malah amat menyedihkan ada yang telah menyewa PPRT sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata, rundingan sedang dilakukan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membolehkan setiap PPRT menggunakan sistem sewa beli manakala Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) turut melakukan perkara sama bagi PPRT di bawah kendalian agensi itu.

“Sejak ambil alih kementerian saya mahu supaya tiada lagi sewa sepanjang hayat, ini bukan kaedah yang baik untuk bantu rakyat.

“Di bawah LPPB, saya baru sedar masih ada rumah yang dibina 30 tahun lalu masih disewa sepanjang hayat sedangkan rumah ini sudah usang dan tidak selamat, tetapi masih disewa berpuluh-puluh tahun,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dalam jawapan lisan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Jaujan berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) yang bertanya tentang langkah kerajaan mengatasi masalah pemilikan rumah PPRT di negeri ini.

Jelas Jaujan, dasar sewa sepanjang hayat adalah antara penghalang kepada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri, malah turut menambah kos perbelanjaan penyelenggaraan yang perlu ditanggung kerajaan.

“Ini soal kebertanggungjawaban, kalau sewa, penghuni tidak jaga dengan baik sebab disewa dan akhirnya beban kembali kepada kerajaan daripada segi penyelenggaraan.

“Kita berdoa moga Kerajaan Pusat setuju, biarlah sewa beli kalau rumah berharga RM250,000 bila sampai RM250,000 sewaan tukar nama menjadi milik dia,” jelasnya.

Sementara itu, menjawab soalan asal dikemukan Matbali Musah (Bersatu-Lumadan) tentang masalah unit-unit rumah ‘overhang’ yang banyak di pasaran, kata Jaujan, antara langkah yang diambil adalah melalui skim sewa milik oleh pemaju swasta.

“Skim ini adalah program sewa milik kediaman iaitu pemaju akan menawarkan kepada pembeli untuk menyewa unit itu bagi tempoh yang ditentukan oleh pemaju.

“Pembeli akan diberi pilihan untuk membeli unit tersebut pada harga yang ditetapkan dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mendapatkan pembiayaan penuh daripada mana-mana institusi kewangan,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *