Houdini tak jadi

MAYAT Klyucharev ditemui mati dalam keadaan bergari di sebatang pokok di Russia.

MOSCOW: Seorang lelaki yang meminati ahli silap mata terkenal dan pakar melepaskan diri, Harry Houdini ditemui mati dalam keadaan bergari di sebatang pokok di Russia kira-kira dua tahun selepas dia dilaporkan hilang.

Mail Online melaporkan, rangka Ivan Klyucharev ditemui bergari pada sebatang pokok manakala tengkoraknya sudah jatuh di tanah di kawasan hutan di Shatura kira-kira 128 kilometer dari Moscow.

Klyucharev, 30, kali pertama di lihat berhampiran kawasan hutan itu pada Mei 2017 dan operasi mencari besar-besaran yang dijalankan gagal menemui mangsa.

Rangka Klyucharev ditemui dalam keadaan berbaring dan dia digari pada satu rantai yang dililit pada sebatang pokok.

Turut ditemui di kawasan itu adalah khemah, kamera yang diarahkan pada kedudukan mangsa, lima gari, tiga rantai besi, enam mangga kunci dan buku mengenai ikatan.

Polis Russia berkata, teori utama mereka adalah kemungkinan lelaki itu cuba meniru aksi melepaskan diri Houdini tetapi gagal dan mati di hutan berkenaan.

Pihak berkuasa juga menyiasat kemungkinan dia dibunuh.

Seorang rakan Klyucharev berkata, lelaki itu suka mengembara dan mendaki gunung. Dia juga sangat meminati Houdini yang terkenal dengan kemahiran untuk melepaskan diri.

“Saya boleh bayangkan dia pergi ke hutan itu dan memutuskan untuk mencuba nasib dengan merantai dirinya sebelum membuang kunci,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *