Sabah Kenal Pasti Pulau Penempatan Sementara Hadapi Pendatang


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan membenarkan rakyat negara jiran masuk ke daratan Sabah sekiranya berlaku ‘influx’ atau kemasukan beramai-ramai dari Filipina mahupun Indonesia seandainya berlaku pertelingkahan di negara jiran berkenaan.

Sebaliknya, rakyat negara jiran itu akan ditempatkan sementara di satu kawasan pulau yang akan dikenalpasti berhampiran dengan sempadan Filipina, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, rakyat negara jiran terutama dari Filipina itu tidak akan dibiarkan berada di pulau-pulau berhampiran seperti Mantanani dan Sipadan.

“Kita tidak akan biarkan mereka dekat dengan kawasan daratan kita supaya kawalan dapat dilakukan.

“Penempatan di kawasan pulau itu dilakukan atas dasar kemanusiaan…mereka ini melarikan diri kerana ingin menyelamatkan nyawa demi keselamatan diri dan keluarga tetapi, kita tidak akan bawa mereka ke Sabah seperti yang berlaku dulu,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan menyediakan pulau bagi penempatan sementara rakyat negara jiran sekiranya berlaku influx.

Beliau berkata demikian ketika Majlis pengenalan spesis eko-Kerapu, di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Rabu.

Beliau berkata seperti keadaan yang berlaku pada 1970an ketika peperangan sivil berlaku, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta untuk menempatkan rakyat negara jiran di kawasan yang diwartakan PBB.

“Kita kena belajar dari pengalaman terdahulu dan kita mencadangkan supaya sediakan satu penempatan di satu kawasan yang jauh dari daratan negeri Sabah bagi membolehkan mereka ditempatkan di situ,” jelasnya.

Menurutnya, lokasi pulau itu akan dimaklumkan kemudian. Pihak keselamatan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia atau agensi keselamatan lain akan memantau kawasan pulau berkenaan.

Katanya, langkah sebegini menggunakan konsep yang sama seperti dilakukan di Pulau Bidong,Terengganu yang menempatkan pelarian perang dari Vietnam suatu ketika dahulu.

Ditanya adakah kerajaan perlu memaklumkan perkara itu kepada Indonesia dan Filipina, Mohd Shafie berkata, perkara itu tidak perlu dimaklumkan kerana beliau tidak mahu pertelingkahan berlaku di sana.

“Tapi sekiranya mereka terpaksa melarikan diri dari negara mereka demi menyelamatkan nyawa maka, atas sebab kemanusiaan kita tidak akan bawa mereka ke Sabah tetapi kita tempatkan mereka di pulau. Ia demi keselamatan nyawa budak kecil dan wanita. Ada asasnya sekiranya kita mahu menyelamatkan nyawa, kita tidak akan biarkan mereka mati di lautan,” ujarnya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *