Penyelam nafi cabul 2 wanita warga China

SEMPORNA: Seorang ketua aktiviti menyelam di sini menafikan dakwaan dia mencabul dua pelancong dari China baru-baru ini.

Lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai James sebaliknya mendakwa dia hanya mahu menyelamatkan nyawa kedua-dua wanita itu.

Katanya, pada hari insiden itu, tong oksigen digunakan kedua-dua wanita berkenaan dalam keadaan longgar ketika menjalankan selaman skuba `discovery’, iaitu untuk mereka yang tidak dapat menamatkan kursus menyelam tetapi mahu meneroka dunia bawah laut.

Sebagai penyelam profesional, James berkata, tindakannya adalah untuk menyelamatkan nyawa kerana pelancong yang tiada pengalaman menyelam itu tidak menyedari situasi dihadapi mereka.

“Ketika menyelam, tong oksigen digunakan seorang daripada mereka jatuh kerana klip alat kawalan apungan tidak dipasang dengan ketat. Saya memberikan isyarat memintanya berhenti untuk membetulkan kedudukan tong.

“Walaupun dia memberikan maklum balas isyarat `ok’, tetapi dia masih bergerak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, dia perlu membetulkan kedudukan tong oksigen wanita itu dan situasi sama turut berlaku terhadap seorang lagi wanita kerana klip hadapannya tidak berfungsi dengan sempurna.

James turut menafikan dia adalah lelaki dalam video mengenai insiden pada 31 Mac lalu kerana ketika itu dia memakai pakaian berwarna putih dan merah jambu, bukan hitam seperti dalam gambar.

Sepanjang tiga tahun dalam bidang menyelam, dia mendakwa tidak pernah menerima apa-apa aduan daripada penyelam lain kerana mereka berpuas hati dengan perkhidmatannya.

James berharap kenyataannya dapat melindungi reputasi pengiring penyelam di Semporna yang menyediakan perkhidmatan profesional dan beretika dalam industri berkenaan.

Dalam kenyataan berasingan, syarikat menyelam yang mendapatkan khidmat James untuk mengiringi kedua-dua penyelam wanita itu, memaklumkan mereka menasihatkan pelancong terbabit membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua wanita terbabit yang berasal dari Shenzhen, China menolak nasihat berkenaan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *