Penerbangan terus Guangzhou ke Tawau bermula Julai ini

CHRISTINA Liew ketika sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sabah di Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah.

KOTA KINABALU: Kedatangan pelancong China ke Tawau dijangka meningkat dengan adanya penerbangan terus dari Guangzhou, bermula Julai ini.

Pengendali penerbangan yang berpangkalan di Guangzhou – Dongfang International Travel Service merancang untuk mengadakan perkhidmatan penerbangan terus selama setahun sehingga Julai 2020.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata ini akan menjadi penerbangan sewa khas pertama ke Tawau.

“Ini tepat pada masanya kerana kami juga akan melancarkan Cuti-Cuti Tawau yang kami promosikan di Berlin.

“Saya sudah mengarahkan Lembaga Pelancongan Sabah untuk memastikan pakej dan perkhidmatan pelancongan disediakan untuk menampung jumlah ketibaan pelancong yang akan meningkat,” katanya pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Guangzhou – Dongfang International Travel Service sudah mengemukakan permohonan kepada syarikat penerbangan Hainan untuk kelulusan penerbangan, yang mana pesawat B737-800 akan dijadualkan terbang dua kali seminggu dari Guangzhou ke Tawau.

Kapasiti tempat duduk terdiri daripada lapan kelas perniagaan dan 154 kerusi penumpang kelas ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Christina berkata Indonesia sudah bersetuju untuk berbincang dengan Sabah mengenai pembiakan badak sumbu Sumatera.

“Indonesia bersetuju untuk bekerjasama dengan kita (selepas mendapat maklumat terkini daripada Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

“Tetapi memorandum persefahaman akan dibincangkan di peringkat mereka (peringkat Indonesia),” katanya.

Christina berkata pada masa lalu beberapa rundingan untuk meminjam badak sumbu mereka sudah dilakukan.

“Perbincangan (mengenai pembiakan) masih berterusan dan kerajaan Sabah masih meneruskan kerjasama.

“Terdapat dua badak masih berada di Rizab Hidupan Liar Tabin, tetapi tidak ada lagi di dalam hutan,” katanya.

Dua badak yang masih ada iaitu Iman, badak betina dan Kertam (jantan) kini dijaga oleh badan bukan kerajaan, Borneo Rhino Alliance di Borneo Rhino Sanctuary di Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *