Lori ‘makan’ tuan

MANGSA yang maut selepas digilis lori yang bergerak sendiri selepas parkir di kawasan berbukit. FOTO Ihsan PDRM

LELAKI warga emas maut selepas digilis lori yang sedang diparkir di laluan berbukit di tapak pembinaan dewan berhampiran sebuah sekolah menengah di Tenom, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, pemandu lori, Sahran Gudang, 63, mati serta merta di lokasi kejadian akibat parah di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, lori tiga tan dipandu mangsa diletakkan di jalan berbukit sekitar kawasan pembinaan itu.

“Siasatan mendapati, lokasi kejadian adalah kawasan tapak pembinaan dewan yang masih bertanah merah dan berlumpur.

“Mangsa dipercayai meletakkan kenderaannya di kawasan bukit dengan kedudukan kepala lori menghala ke bawah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa sudah mematikan enjin dan berada di sebelah kiri lorinya.

“Tiba-tiba lori ini bergerak dan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba mengejar untuk memberhentikannya.

“Bagaimanapun, mangsa terjatuh sebelum digilis sehingga menyebabkan badannya tersepit di bawah tayar,” katanya.

Menurut Hasan, mangsa maut akibat parah di dada.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tenom untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *