Batalion PGA akan dilengkapkan unit Tiger Platoon

LAHAD DATU, 17 April – Setiap Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di negara ini kecuali Batalion 19 PGA akan dilengkapkan dengan satu Unit Tiger Platoon, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Katanya, pewujudan unit di setiap batalion itu bertujuan bagi memperkasakan peranan dan tanggung jawab PGA selari dengan trend ancaman keselamatan yang dihadapi negara ketika ini.

“Unit Tiger Platoon ini unit yang dilatih khas oleh pasukan gerak khas daripada Skuadron Vat 69 serta Unit Tindak Khas dan gabungan kedua-dua pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini membawa kepada satu silibus yang akan memastikan PGA akan sentiasa bersiap sedia berhadapan sebarang cabaran dan ancaman pada bila-bila masa.

“Misalnya ancaman di perairan Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) berkaitan jenayah rentas sempadan merangkumi penyeludupan, penyusupan termasuk kemasukan perkara yang boleh mengancam kepada keharmonian penduduk di Sabah dan amnya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan kursus asas Tiger Platoon siri 4/2019 Briged Sabah serta pelancaran logo Tiger Platoon PGA di sini, hari ini.

Hadir pada majlis itu Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk DCP Hazani Ghazali.

Bagi perancangan masa hadapan dan memastikan PGA sentiasa kekal relevan, Acryl Sani berkata  konsep latihan serta penugasan Unit Tiger Platoon akan diperluaskan kepada platun-platun infantri PGA supaya keseluruhan infantri PGA menjadi terlatih seperti unit tersebut.

Tiger Platoon merupakan platun tempur khas PGGA yang keanggotaannya dipilih dalam kalangan pegawai dan anggota regular infantri Batalion Briged PGA.

Kesemua mereka yang terpilih itu dilatih dengan kemahiran peperangan khusus serta multi-tasking bagi menangani ancaman keganasan dan insurgency sekali gus mengekang aktiviti jenayah era globalisasi yang merentas sempadan.

Pada majlis hari ini, seramai seorang pegawai serta 36 anggota tamat kursus asas Tiger Platoon Siri 4/2019 Briged Sabah di Batalion 17 PGA Lahad Datu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *