24 anggota JPJ direman tujuh hari

ANGGOTA SPRM membawa suspek untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Georgetown. FOTO Danial Saad

SERAMAI 30 lelaki termasuk 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri direman tujuh hari sehingga 23 April ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melindungi pemandu ‘lori kebal’ yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Nor Fadrina Zulkhairi.

Terdahulu semua 30 lelaki berkenaan tiba di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang jam 10.40 pagi diiringi lebih 10 pegawai SPRM.

Semalam, SPRM menahan 33 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ kerana melindungi sindiket ‘lori kebal’ sebelum tiga wanita dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, mereka dipercayai melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

Mereka terdiri daripada 30 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun dan ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10 pagi hingga 4 petang semalam.

Daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita terbabit ialah orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.

Semua pegawai penguat kuasa JPJ Pulau Pinang daripada gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Sebelum itu, pagi tadi bas SPRM yang membawa 30 individu untuk proses reman di Mahkamah Majistret Georgetown terbakar.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi tadi, bas dalam perjalanan ke Georgetown dari Bayan Baru itu mengalami kerosakan di enjin dan terbakar di tepi Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata, tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Menurutnya, kesemua suspek berkenaan kemudian dibawa menaiki 10 kereta ke Mahkamah Majistret Georgetown. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *