Suami, isteri hamil kantoi menagih syabu

SUAMI isteri ditahan AADK kerana positif syabu. FOTO Ihsan AADK Beaufort

LELAKI dan isterinya yang hamil lima bulan antara 23 individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah di tiga kampung di Beaufort, awal pagi hari ini.

Operasi yang bermula 1 pagi dan berakhir 4.30 pagi itu, wanita berusia 36 tahun itu ditahan bersama suaminya berusia 30-an di Kampung Lumadan.

Ketika ditahan, pasangan terbabit dikatakan tidur di bilik dan terjaga sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa yang menjalankan operasi.

Wanita hamil itu memberi alasan sudah lama tidak menagih dadah sebelum ujian air kencingnya didapati positif syabu.

Ketua Pegawai AADK Beaufort Effanehwati Lakat berkata, ujian saringan awal air kencing suami isteri itu positif syabu.

“Selain suami isteri itu, seramai 19 individu lagi turut ditahan kerana positif dadah.

“Semua 23 individu berusia 20 hingga 53 tahun ditahan dalam Ops Cegah di tiga kampung iaitu di Weston, Balibata dan Lumadan,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Operasi itu membabitkan 10 penguat kuasa AADK Negeri dan Cawangan Beaufort yang diketuai, Ketua Operasi AADK Sabah, Erwan Roslan.

Effanehwati berkata, semua tangkapan dibawa ke pejabat AADK Beaufort untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki penagih dadah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *