Shafie ‘Cool’ Jawab Soalan, Tidak Tergugat Kehadiran Musa

KOTA KINABALU: Pihak pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mendapat suntikan semangat apabila Ketua Pembangkang, Tan Sri Musa Aman akhirnya hadir ke mesyuarat hari ini selepas gagal melakukannya dalam dua sesi tahun lalu.

Bagaimanapun, rasa teruja pemerhati untuk melihat kehadiran Musa dalam sidang DUN sebenarnya kerana kegagalan beliau menghadirkan diri dalam dua sesi sebelum ini sehingga timbul persoalan sama ada beliau akan dilucutkan jawatan atau tidak.

Ini kerana, menurut Artikel 18(2) Perlembagaan Sabah, DUN boleh mengisytiharkan mana-mana kerusi kosong sekiranya wakil rakyat yang dipilih gagal hadir untuk tiga sesi berturut-turut tanpa alasan kukuh.

Berikutan itu, atas faktor beliau kini menjadi Ketua Pembangkang selepas memegang tampuk pemerintahan Sabah selama tiga penggal, yang berakhir pada 9 Mei tahun lalu, sudah pasti kelibat beliau amat dinanti-nantikan.

Jika satu pihak berasa teruja atau bersemangat dengan kehadiran Musa, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bagaimanapun tidak langsung tergugat dengan seteru politiknya itu.

Tambahan pula, dengan posisi tempat duduk kedua-dua tokoh yang saling bersemuka, jelas sekali Mohd. Shafie adalah pemenang kerana selepas pilihan raya umum lalu, Musa terlebih dahulu menjadi Ketua Menteri kontroversi selama dua hari sebelum ADUN Senallang berkenaan mengambil alih jawatan secara sah.

Mohd. Shafie turut membuktikan beliau ‘cool’ dalam menjawab soalan tambahan Musa yang bertanya tentang langkah kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini.

“Ini sedang diusahakan oleh kerajaan, saya juga telah berbincang dengan kerajaan Filipina dan Indonesia tetapi yang berhormat Sungai Sibuga juga tahu bukanlah mudah Filipina dan Indonesia ini membantu kita supaya dikeluarkan dokumen perjalanan.

“Kerajaan akan hantar (hantar balik PATI) kita akan berusaha tetapi kita berdepan banyak masalah.

“Tetapi keutamaan kita ialah daripada segi keselamatan, justeru kerajaan akan terus menghantar PATI balik,” kata Mohd. Shafie kepada Musa.

Pertembungan antara Mohd. Shafie dengan Musa adalah senario paling mendapat tumpuan yang mewarnai politik Sabah terutama selepas bekas Naib Presiden UMNO itu meninggalkan parti lamanya pada 2016.

Sebelum itu, Mohd. Shafie yang sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci telah digantung keahlian daripada UMNO yang dikatakan berpunca daripada desakan Musa dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut.

Selepas itulah, Mohd. Shafie meneruskan perjuangan politik beliau dengan menubuhkan Warisan yang akhirnya berjaya membenam ego Musa yang selama ini menaruh keyakinan bahawa Sabah adalah deposit tetap Barisan Nasional (BN).

Senyuman manis Mohd. Shafie ketika melihat kehadiran Musa hari ini pasti memberi seribu makna kepada Musa. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *