KOTA KINABALU: `Saya sihat, terima kasih,’ ujar bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman apabila ditanya mengenai keadaan terkini beliau ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga itu dilihat meninggalkan dewan persidangan selepas sesi soal jawab pada hari kedua Sidang Dun itu pada pukul 11 pagi.
“Saya akan mengulas tentang perkara itu bila sudah bersedia,” jawab Musa ringkas terhadap pertanyaan para wartawan sama ada beliau akan menjadi ketua pembangkang dalam persidangan Dun yang berlangsung mulai 11 hingga 18 April ini.
Terdahulu Musa menghadiri persidangan Dun ke-15 buat pertama kalinya selepas tampuk pemerintahan kerajaan Negeri diambil alih oleh kerajaan gabungan pimpinan Parti Warisan Sabah.
Beliau tiba sebelum sidang bermula pukul 10 pagi tadi dan disambut oleh wakil-wakil rakyat yang terdahulunya daripada Umno dan juga Barisan Nasional serta para penyokong.
Menariknya Musa adalah satu-satunya wakil rakyat yang mewakili Umno dalam persidangan itu.
Musa mengangkat sumpah sebagai Adun pada 5 September tahun lalu dan ini merupakan penampilan pertama beliau dalam persidangan Dun sejak kerajaan baharu. – SabahNewsToday