Sabah masih selamat

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan negara ini daripada senarai ‘K’, iaitu berpotensi untuk penculikan di pantai timur negeri ini.

Beliau berkata, Sabah adalah selamat dikunjungi dan pelancong dari China dan Eropah masih berduyun-duyun ke negeri ini termasuk Semporna dan Pulau Sipadan.

“Saya berharap permintaan Kementerian Luar untuk mengeluarkan Malaysia (daripada senarai itu akan diberikan perhatian) dan kawasan itu adalah selamat dikunjungi. Keadaan adalah terkawal dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Insiden (penculikan) berlaku sebelum ini tetapi kami melakukan yang terbaik bagi memastikan bukan sahaja keselamatan diperketatkan, malah pemantauan dipertingkatkan di kawasan itu,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar di Pusat Pentadbiran Sabah, hari ini.

Mohd Shafie berharap AS boleh memberi maklumat mengenai sebarang kemungkinan ancaman di kawasan itu dengan berkongsi maklumat risikan.

Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat menandakan ‘K’ ke atas 34 negara yang dikenal pasti mempunyai risiko penculikan dan pengambilan tebusan oleh penjenayah dan pengganas termasuk Malaysia.

Untuk Malaysia, timur Sabah ditandakan sebagai sebuah wilayah dengan peningkatan risiko penculikan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *