Mangsa rogol mati dibakar

Gambar Hiasan

DHAKA: Seorang remaja perempuan yang menuduh pengetua sekolah merogolnya, meninggal dunia di hospital selepas beliau dibakar.

Laporan media tempatan menyatakan, Nusrta Jahan Femi, 18, disimbah dengan minyak tanah dan dibakar di atas bumbung dewan peperiksaan oleh sekumpulan penyerang.

Kes disyaki pembunuhan itu mencetuskan kemarahan di Bangladesh, mencetuskan bantahan dan perdebatan panas mengenai penderaan seksual, dengan Perdana Menteri, Sheikh Hasina, menggesa ‘hukuman sebagai teladan’ bagi ‘jenayah kejam’ itu.

Polis menangkap lapan orang berkaitan kes berkenaan, manakala Menteri Kehakiman berkata kerajaan akan memastikan perbicaraan segera sebagai reaksi kepada desakan keluarga Nusrat.

Ketua Biro Siasatan Polis, Banaj Kanti Majumdar, mengumumkan pada sidang akhbar di Dhaka bahawa 13, termasuk dua remaja perempuan, terbabit dalam pembunuhan kejam itu.

Seorang guru juga ditahan.

Walaupun pengetua terbabit, Siraj-ud-Daula, ditahan sejak 27 Mac lalu berhubung dakwaan mangsa, siasatan polis mendedahkan beliau juga bersubahat dengan plot pembunuhan.

Pada 4 April lalu, dua hari sebelum Nusrat dibakar, beberapa orang termasuk seorang defendan melawat pengetua terbabit, yang didakwa Nusrat cuba merogolnya di dalam pejabat.

“Siraj-ud-Daulah mengarahkan mereka membunuh Nusrat,” kata Majumdar.

Sebelum meninggal dunia akibat kecederaan di Hospital Kolej Perubatan Dhaka pada 10 April, Nusrat didakwa mendedahkan butiran serangan kepada saudara lelakinya.

Nusrat bakal mengambil peperiksaan Bahasa Arab sebelum empat orang memberitahu rakannya diserang di atas bumbung, kata saudara lelaki mangsa.

“Mereka meminta beliau menarik balik kes terhadap pengetua.

“Apabila Nusrat enggan, seorang daripada mereka menyimbah minyak tanah dan membakarnya,” kata saudara lelaki mangsa. — Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *