Pindaan Undang-Undang Perlu Bagi Selesaikan Isu Individu Tanpa Warganegara Di Sabah

PINDAAN UNDANG-UNDANG PERLU BAGI SELESAIKAN ISU ‘STATELESS’ DI SABAH

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melihat keperluan untuk kerajaan melakukan pindaan dalam undang-undang Jabatan Imigresen Malaysia sedia ada dalam usaha menangani isu individu tanpa warganegara (stateless) di Sabah.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata, daripada kira-kira 500 kes yang Suhakam terima setiap tahun di Sabah, 80 peratus adalah berkaitan isu individu tanpa warganegara dan kesemua kes itu tidak berjaya diselesaikan.

“Isu berkaitan dokumentasi ini susah untuk diselesaikan. Apabila kami menerima kes, kami akan hantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan mereka berikan jawapan tanpa ada penyelesaian. Isu dokumentasi memang tidak boleh ke depan.

“Kita kena melihat undang-undang yang ada. Jika tidak ubah undang-undang atau polisi, selamanya akan begini (tiada penyelesaian). Banyak persoalan tetapi tiada jawapan dan penyelesaian.

“Namun, kita berharap dengan pertemuan ini, ia adalah permulaan yang baik kerana Ketua Menteri meminta kita menghantar senarai kes kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) dan Pejabat SKN bersedia untuk bekerjasama dengan kita untuk mencari penyelesaian,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Isnin.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph menyerahkan ‘memorandum’ kepada Ketua Menteri Sabah, disaksi oleh Pesuruhjaya Suhakam Sabah Datuk Godfrey Gregory Joitol.

Beliau berkata, Ketua Menteri juga memberi saranan untuk mencari kaedah penyelesaian secara ‘pragmatic’ dalam menyelesaikan isu dokumentasi ini.

Maka, jika ada isu individu tanpa warganegara mungkin mereka perlu dirujuk kepada kedutaan Filipina dan Indonesia agar dapat mencari ruang mempercepatkan proses pemberian dokumentasi berkenaan.

“Bila ada dokumen itu nanti, mereka boleh bekerja secara sah kerana sebelum ini ramai mereka yang tiada dokumen asas untuk menjadi pekerja yang sah,” jelasnya.

Selain isu dokumentasi, isu tanah Orang Asal juga antara yang paling banyak diterima di Sabah.

Untuk menyelesakan isu ini, polisi sedia ada perlu diperhalusi. Ada syarikat dikatakan mula membuka tanah untuk perladangan sawit.

“Bagi mencari penyelesaian kena tahu adakah tanah itu, tanah Orang Asal yang ada di sana. Ketua Menteri juga sangat memberi kerjasama dalam mencari jalan penyelesaian dalam menangani isu tanah,” jelasnya.

Kemudian ditanya mengenai kes yang berjaya diselesaikan, Jerald berkata, sebanyak 30 peratus kes berjaya diselesaikan di Sabah pada tahun lalu.

Untuk seluruh Malaysia, daripada 1,200 kes yang diterima tahun lalu, hanya 50 peratus berjaya diselesaikan.

Ketika ditanya mengenai statistik terbaru individu tidak berdokumen di Sabah, beliau berkata, tiada jumlah sebenar yang dikenalpasti.

“Ini salah satu persoalan yang kita tanya Ketua Menteri. Ini sesuatu yang kita kena kenalpasti.

”Kita tidak tahu jika jumlahnya sejuta atau dua juta. Itu tidak penting buat masa ini tapi keparahan isu ini kita setuju,” jelasnya.

Turut hadir adalah Pesuruhjaya Suhakam Sabah Datuk Godfrey Gregory Joitol. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *