Pindaan Perkara 1(2) Ibu Kepada Segala Tuntutan Sabah

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Pindaan 2019 yang ditolak Dewan Rakyat minggu lalu adalah ibu kepada segala pindaan susulan yang akan dibentang selepas ini dalam usaha mengembalikan hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pindaan tersebut memberi legitimasi kepada Sabah sebagai salah satu wilayah yang membentuk Malaysia dan memiliki hak sama rata dengan Semenanjung bukannya sebagai sebuah negeri.

Jelas beliau, sejarah membuktikan bahawa semasa Artikel 1(2) Perlembagaan dipinda pada 1963 untuk membentuk Malaysia, Sabah hadir ketika itu sebagai sebuah wilayah yang diketuai oleh Yang Dipertua Negara.

“Ini adalah perkara pertama yang disebut Artikel 1(2), perkara lain di bawahnya tidak akan terjadi tanpa yang pertama, maka imej Sabah berlainan dengan negeri lain seperti Perlis.

“Malah, semasa pindaan dibawa ke Parlimen di Malaya waktu itu pada 19 Ogos 1963, selama tiga hari bersidang, tiada wakil Sabah dalam dewan, maknanya status kita adalah sebagai entiti wilayah dan ketika pindaan berlaku kita mempunyai Yang Dipertua Negara bukan Yang Dipertua Negeri.

“Kedudukan kita seperti tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT) kita ada bidang kuasa yang tidak sama dengan negeri lain, kelainan itu ditambah dengan pindaan untuk membawa perkara asal, kita tidak mahu pinda apa-apa yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) tentang langkah kerajaan meneruskan perjuangan menuntut hak-hak MA63 ditunaikan selepas RUU tersebut tidak diluluskan.

Mohd. Shafie berkata, beliau sedar banyak lagi pindaan lain yang perlu dilakukan tetapi Artikel 1(2) adalah ibu kepada segalanya kerana akan memberikan legitimasi kepada Sabah sebagai sebuah wilayah dan rakan sekutu Semenanjung.

Mengulas lanjut, kata beliau, perkara-perkara lain yang ditimbulkan seperti tuntutan hasil cukai dan royalti minyak sebenarnya adalah masalah di peringkat pelaksanaan bukannya membabitkan pindaan Perlembagaan.

“Semua tuntutan ini dibincangkan semenjak pembentukan jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri dan pada masa akan datang ada Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk pastikan suara-suara tuntutan yang dilontar akan diwakilkan kepada mereka.

“Ini kerana pindaan Perlembagaan tidak perlu perlu bagi peruntukan hasil kerana itu sudah termaktub dalam Perlembagaan sama ada 40 peratus atau 20 peratus royalti minyak tidak perlu pindaan Perlembagaan cuma perlu dilaksanakan,” tegas beliau. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *