Permohonan isu perundangan kes Musa Aman didengar 6 Mei ini

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan 6 Mei depan untuk mendengar permohonan isu perundangan yang difailkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, terhadap 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih US$37.8 juta dan SGD2.5 juta yang dihadapinya.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Rozina Ayob pada sebutan kes hari ini.

Terdahulu, peguam Francis Ng Aik Guan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersedia untuk berhujah berhubung pemohonan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim Soib @ Hamid, bagaimanapun berkata pihaknya membantah permohonan itu dan memerlukan masa untuk memasukkan afidavit balasan, sekurang-kurangnya 14 hari daripada tarikh difailkan pada 10 April lalu.

“Ini berikutan afidavit itu perlu diperoleh daripada pegawai diplomatik Hong Kong dan Singapura. Pihak pendakwaan menerima permohonan peguam pada 10 April dan akan menyerahkan afidavit jawapan pada 24 April,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarah Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan dari hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes di mana jumlah itu adalah hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima SDG$2.5 juta atas sebab yang sama.

Individu dan syarikat terbabit ialah Chia Tien Foh, Young Generation Corp, Lo Man Heng, Mazlan Zakaria, Axon Group Ltd, Well Capital Finance Limited, Innovative Information Ltd dan Portland Trading Pte Ltd.

Bagi pertuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes memindahkan semua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun lelaki itu ke akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana semua aset dan kemasukan wang akan datang itu adalah hasil aktiviti haram.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di UBS AG Singapura dan Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China, antara 21 Jun 2006 hingga 14 Jun 2008.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Jaminan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah itu dikekalkan seperti jaminan sebelum ini, iaitu RM2 juta dengan penjamin yang sama. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *