Kemasukan Dari Labuan Ke Sabah Harus Melalui Pemeriksaan Keselamatan

KOTA KINABALU: Kerajaan disaran membina pondok imigresen di pintu masuk Sabah terutama di Menumbuk agar kemasukan dari Labuan dapat menjalani pemeriksaan keselamatan.

Adun Tamparuli (PBS) Datuk Jahid Jahim berkata  setelah Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan ianya telah membuka satu “pintu” yang luas kerana Kerajaan Negeri tiada lagi kuasa mengawalnya.

Datuk Jahid Jahim. Gambar Fail SNT

“Sesiapa yang masuk ke Sabah melalui WP. Persekutuan Labuan adalah bebas memasuki Sabah tanpa pemeriksaan imigresen.

“Atas semangat MA63, adalah dicadangkan di sini supaya kuatkuasa pengawalan kemasukan ini dikembalikan kepada yang asal agar bukan sahaja anasir-anasir yang tidak diingini dapat dikawal tetapi juga kuasa-kuasa imigresen itu dikembalikan.

“Dikhuatiri, kemasukan secara bebas melalui Wilayah Persekutuan Labuan akan disalahgunakan dalam jangka panjang  oleh pihak yang berkepentingan,” katanya ketika membahaskan usul terimakasih terhadap ucapan dasar kerajaan oleh TYT di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Jahid juga mengsyorkan agar diperbanyakkan tajuk-tajuk mengenai syarat pembentukan Malaysia dalam sukatan pelajaran melalui buku-buku teks yang disediakan agar belia-beliawanis Sabah khususnya dan Malaysia pada umumnya lebih awal menghayati sejarah pembentukan Malaysia.

“Sukatan pelajaran di Malaysia yang sedia ada sekarang memberikan penekanan yang sangat  kurang  tentang  sejarah pembentukan Malaysia.

‘Sejarah pembentukan Malaysia adalah penting dan perlu dipelajari secara terperinci dalam kurikulum sekolah yang bermula dari Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (Malaysia Solidarity Consultative Committee), Laporan Suruhanjaya Cobbold (Cobbold Commission of Enquiry), Memorandum 20 Perkara (20 Perkara untuk Sabah dan 18 Perkara untuk Sarawak),  Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter Governmental Committee) dan cadangan-cadangan mereka yang membawa kepada penggubalan Perjanjian Malaysia 1963 (Malaysia Agreement 1963),” katanya.

Setakat ini, Jahid berkata fakta mengenai pembentukan Malaysia hanya dimampatkan kepada satu bab dan terhad kepada beberapa muka surat sahaja dalam buku sejarah sekolah.

‘Ini telah mengakibatkan kekurangan pemahaman tentang pengasas Malaysia di kalangan pelajar dan juga penjawat awam di Malaysia.

“Oleh yang demikian, mereka agak jahil terhadap pengorbanan orang-orang Sabah dan Sarawak dan apa yang terpaksa dilalui oleh pemimpin-pemimpin dari Malaysia Timur semasa dalam proses pembentukan Malaysia dahulu,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan supaya laporan RCI mengenai Pendatang Asing di Sabah dilihat semula kerana di muka surat 5-8 laporan itu terdapat lapan terma rujukan.

Antara lain ianya menyentuh tentang perkara-perkara yang dibangkitkan bahawa 1.2 juta daripada 3.9 juta penduduk Sabah adalah terdiri dari warga asing dan hanya 30 peratus sahaja daripada 1.2 juta mempunyai dokumen pengenalan yang sah.

“Ini membuatkan saya tertanya-tanya apa sudah jadi kepada jaminan keselamatan yang diberikan semasa Penubuhan Malaysia dahulu jika ramai Pendatang Asing boleh memasuki negara/negeri kita sewenang-wenangnya.

“Jumlah ini, terlalu besar untuk tidak dapat di kesan oleh pihak berwajib. Mohon dikuatkuasakan semua perundangan yang ada agar generasi akan datang, anak cucu kita terus dapat hidup tenang damai di negeri yang diidam-idamkan oleh datuk nenek mereka semasa Malaysia ditubuhkan 56 tahun yang lalu,” katanya.

“Oleh kerana itu, saya mencadangkan supaya syor RCI itu diteliti dahulu dan pendapat serta cadangan dari “Stakeholders” di Sabah harus diperolehi terlebih dahulu sebelum SOP baharu mengenai pengeluaran kad pengenalan dilaksanakan agar ianya dapat merangkumkan perkara-perkara yang mungkin terlepas pandang di peringkat Pegawai Jabatan/Kementerian,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *