Hospital baharu sangat diperlukan di Ranau

KOTA KINABALU: Pembinaan hospital baharu di Ranau perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan masyarakat luar bandar serta pedalaman.

Datuk Abidin Madingkir (Upko-Paginatan) berkata, Ranau kini berhadapan pertambahan pesakit akibat daripada populasi penduduk yang semakin bertambah.

“Selain daripada kekurangan kemudahan yang canggih, pesakit luar yang telah mengambil nombor giliran di kaunter terpaksa menunggu agak lama.

“Pesakit yang tidak dapat dirawat di daerah Ranau juga terpaksa dihantar ke Kota Kinabalu. Ini sudah tentu menyusahkan pesakit-pesakit dari segi kos dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyeru kepada Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Negeri supaya mendirikan bangunan hospital baharu di daerah Ranau.

Katanya, tapak untuk pembinaan sudah dikenal pasti dan jarak lokasi hospital dengan daerah Ranau bukan menjadi masalah sebaliknya ia perlu direalisasikan bagi meringankan beban rakyat di kawasan itu.

Selain itu, Abidin turut menjelaskan bahawa bekalan air adalah satu isu yang hangat dibincangkan di daerah Ranau terutama sewaktu kemarau atau tengkujuh.

“Beberapa bulan lalu, sebelum menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, penduduk di Pekan Ranau dan beberapa kampung yang melibatkan 4,000 penduduk menghadapi masalah air.

“Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur supaya meneruskan cadangan pembinaan ‘water intake’ dari Sungai Nakamura yang mana bekalan air dari sungai itu belum tercemar.

“Selain itu, kerajaan juga perlu meletakkan tangki besar berdekatan Jabatan Air Ranau sebagai stok bekalan air bersih dan menukar paip yang sudah reput kerana pada bila-bila masa sahaja ia akan pecah,” katanya.

Selain itu, beliau juga bertanya kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur mengenai status beberapa cadangan yang telah dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau kepada ibu pejabat JKR Sabah.

Katanya, antara cadangan itu adalah menaik taraf Jalan Tompios-Tinanom, pembinaan Jambatan Sungai Liwagu Kampung Lungkidau Paginatan, menaik taraf Jalan Miruru Mangkadait dan pembinaan Jambatan Sungai Walou serta Jalan Kampung Walou-Tinanom.

“Saya juga mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur, supaya merumuskan satu polisi yang mana semua jalan raya luar bandar yang bukan di bawah seliaan JKR dan bukan juga di bawah seliaan Pemborong Kekal Mewah dapat di ‘adopt’ oleh JKR,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *