AS senaraikan Malaysia sebagai negara ‘K’

Pulau Mabul

KEMENTERIAN Luar membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang tidak selamat melalui panduan perjalanan yang dikeluarkan negara itu.

Pengumuman baru itu dibuat pada 9 April lalu dengan menandakan Malaysia sebagai indikator ‘K’ berikutan negara ini dikatakan berisiko berlaku penculikan dan dijadikan tebusan di beberapa kawasan di timur Sabah.

Bagaimanapun, Kementerian Luar dalam kenyataannya, menyangkal dakwaan itu dan menegaskan panduan perjalanan baru itu tidak menunjukkan situasi sebenar keselamatan di timur Sabah.

“Kementerian Luar membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan AS yang menyenaraikan Malaysia sebagai negara baru yang ditandakan indikator ‘K’.

“Perkara ini diumumkan panduan perjalanan pada 9 April lalu,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini, itu.

Menurut kenyataan itu, pengumuman baru berkenaan tidak tepat kerana timur Sabah masih selamat kepada pelancong berdasarkan statistik jumlah pelancong meningkat.

“Keadaan keselamatan di Sabah adalah terjamin dan ia selamat untuk dikunjungi pelancong.

“Jumlah pelancong yang mengunjungi Sabah pada tahun lalu meningkat sebanyak 5.5 peratus mencecah 3.87 juta orang,” katanya.

Kementerian Luar turut menegaskan, kes penculikan menurun dan hampir tidak lagi berlaku, selain kawasan timur Sabah terus menarik kunjungan penyelam skuba bertaraf dunia.

“Kejayaan ini adalah hasil tindakan proaktif yang diambil kerajaan dengan meningkatkan kawalan, kerjasama rapat dengan negara jiran dan peletakkan aset keselamatan di lokasi strategik.

“Berdasarkan fakta ini, Malaysia menggesa AS supaya lebih bersikap objektif dalam membuat penilaian selain mengeluarkan Malaysia daripada senarai K berkenaan,” katanya.

Menerusi laman panduan perjalanan ke Malaysia dalam laman web Jabatan Negara AS itu, warganya dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga jika mahu melancong ke Malaysia, terutama ke pantai timur Sabah yang dikatakan berisiko berlaku penculikan.

Afghanistan, Bangladesh, Cameroon, Afrika Tengah, Colombia, Ethiopia, Haiti, Iran, Iraq, Kenya, Mexico, Nigeria, Pakistan, Filipina, Syria, Trinidad dan Tobago, Turki, Uganda, Ukraine (di timur Ukraine yang dikuasai Russia) dan Yaman turut berada dalam senarai ‘K’. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *