ADUN BERSATU Usul Sokong Pindaan Perlembagaan Dibentang

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan satu usul tergempar dibentang di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi menzahirkan sokongan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Pindaan 2019 jika dibawa sekali lagi ke Dewan Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Masidi Manjun berkata, usul berkenaan penting untuk menjernihkan perdebatan hangat yang timbul dalam kalangan rakyat dan pemimpin selepas RUU berkenaan ditolak oleh Dewan Rakyat Selasa lalu kerana gagal mendapat dua pertiga majoriti.

Masidi berkata, pertikaian yang timbul disebabkan masalah semantik kini telah dipolitikkan, justeru satu kata putus perlu iaitu sokongan daripada DUN yang akan turut menjadi asas kepada ucapan mana-mana Ahli Parlimen Sabah selepas ini.

Adun Bersatu, Ghulam Haidar dan arifin Arif bersama dengan menteri-menteri datuk aidi mokhtar, datuk ewon benedick dan datuk Dr yusof yacob

“Kalau kita lihat daripada perdebatan beberapa wakil rakyat dan ahli politik dengan cara ikhlas saya ingin nyatakan itu lebih kepada semantik bukan niat untuk Perlembagaan itu sendiri.

“Jadi kita dibuai dengan semantik, kita bercakap lebih kepada politik daripada menyatakan dan membuat sesuatu yang baik kepada Sabah, dengan itulah kalau diizinkan barangkali kita buat satu ketetapan usul bahawa kita sokong kepada pindaan ini.

“Maka siapa sahaja Ahli Parlimen kita yang bercakap nanti dia hendaklah membawa suara DUN ini,” katanya dalam soalan tambahan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal semasa sidang DUN.

Menjawab kepada cadangan tersebut, Mohd. Shafie berkata, cadangan berkenaan amat baik agar tiada mana-mana pihak lagi yang cuba mempolitikkan isu tersebut sehingga boleh menghalang usaha kerajaan menuntut hak negeri.

“Seperti yang dinyatakan, perkara ini tidak boleh dipolitikkan, jangan ada disebabkan oleh kerana perkataannya boleh membantutkan keputusan.

“Jadi saya tidak ada masalah kalau DUN bawa usul apa sahaja yang bertepatan untuk menjayakan agenda ini bukan sahaja daripada perundangan bahkan lebih penting mengandungi usaha kita tunaikan hak ini demi generasi akan datang,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *