Polis buru kapten kapal

gambar Hiasan

KAPTEN kapal diburu polis selepas melarikan wang hasil jualan minyak syarikat RM13,250 di Jalan Lubuk Poring, Sepanggar, Kota Kinabalu Rabu lalu.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, difahamkan lelaki tempatan berusia 43 tahun itu membawa lari wang yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun syarikat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima laporan 12.14 tengah malam kelmarin.

“Satu laporan polis dibuat oleh pengadu yang juga pengurus sebuah syarikat menyatakan pekerjanya mencuri wang syarikat RM13,250.

“Siasatan mendapati, pada hari kejadian pengadu dimaklumkan oleh pekerjanya yang lain bahawa suspek yang juga kapten kapal membawa lari duit jualan minyak yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun syarikat,” katanya hari ini.

George berkata, suspek sehingga kini tidak dapat dihubungi dan usaha mengesannya giat dilakukan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh maklumkan terus kepada polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Paul di talian 0145969134,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *