Pasar borong sayur baharu rancakkan ekonomi Penampang

Foto Facebook Urang Sabah

PENAMPANG: Pasar borong sayur yang mula beroperasi sejak dua minggu lalu di Jalan Pintas, dekat sini, dijangka bakal merancakkan lagi kegiatan ekonomi di daerah ini berikutan sambutan orang ramai yang menggalakkan.

Menurut peniaga, Justina Lomponguk, 51, sejak peniaga sayur dan buah-buahan dari pasar lama berdekatan Cyber City berpindah ke pasar itu, sambutan daripada orang awam sangat menggalakkan.

“Ini mungkin disebabkan lokasi yang berhampiran dengan jalan utama berbanding di pasar lama pelanggan perlu masuk ke dalam sejauh kira-kira 100 meter dari jalan utama.

“Kawasan ini juga terdapat banyak perumahan dan orang ramai boleh datang untuk mendapatkan buah atau sayur-sayuran segar,” katanya ketika ditemui di pasar itu di sini, hari ini.

Katanya lagi, sebelum ini mereka beroperasi sehingga jam 2 petang kerana pelanggan datang hanya pada waktu pagi saja.

“Tetapi sejak berpindah ke sini, kami buka gerai seawal jam 6 pagi hingga 6 petang kerana masih ada pelanggan singgah terutamanya selepas waktu bekerja untuk membeli barangan basah,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga sayur dan buah-buahan.

Bagaimanapun, menurut seorang lagi peniaga, Sahadan Gastan, 40, ada pelanggan masih tidak tahu semua peniaga sudah berpindah ke pasar baharu itu.

“Walaupun dipindahkan ke kawasan lebih selesa dan mudah diakses orang awam namun tidak semua tahu kami sudah berpindah.

“Saya harap lebih ramai tahu bahawa semua peniaga di pasar borong sayur lama sudah berpindah ke sini terutamanya pelanggan jauh yang datang dari daerah lain.

“Ini kerana ada pelanggan yang datang dari daerah lain dan tempat ini pula sering menjadi tumpuan bagi mereka yang membeli sayur dan buah-buah secara borong,” katanya. – Berita Harian

Foto Facebook Urang Sabah
Pelbagai jenis sayur dan buah-buahan di Pasar Pemborong Sayur di Jalan Pintas, Penampang. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *