Kerja Keras Pastikan Kemenangan Pembangkang Berakhir Di Sandakan

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya di Sabah akan bekerja keras untuk memastikan Parlimen Sandakan tidak jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya kecil 11 Mei depan.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bagaimanapun mengakui kemenangan itu tidak akan dicapai dengan mudah, justeru jentera parti perlu bekerja keras mendampingi pengundi bagi memahami keperluan mereka agar terus menyokong kerajaan.

Ketua Menteri berkata, pengundi di kawasan itu perlu diberi kefahaman bahawa kerajaan negeri tidak akan berhenti berusaha membangunkan Sandakan walaupun bukan mudah untuk dilaksanakan terutama selepas mewarisi kerajaan yang terbeban dengan hutang.

“Perlu mendampingi rakyat kerana walaupun ada keterbatasan daripada segi usaha kita melaksanakan perkara untuk memberikan pekerjaan atau perniagaan kepada mereka yang memang bukan semudah itu dilakukan, tetapi kita mesti sedar kemerosotan ekonomi hari ini bukanlah disebabkan kerajaan sekarang.

“Kita perlu hadapi kesukaran itu dan terus berusaha tetapi saya yakin jika kita dapat jelaskan kepada pengundi, kita tidak angkuh dan berdoa kepada Allah SWT pasti berjaya,” kata kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 hari ini.

Mohd. Shafie diminta mengulas persediaan berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei lalu selepas melihat tiga PRK berturut-turut dimenangi Barisan Nasional (BN) di Semenanjung.

Ditanya adakah sentimen menolak Pakatan Harapan (PH) di Semenanjung turut merebak ke Sabah, Mohd. Shafie berkata faktor yang paling penting adalah pendekatan menarik sokongan pengundi.

“Kadang-kadang kalau hujan di sebelah sana, di sini panas, kalau banjir di sana di tempat lain tidak banjir tetapi kena ingat setiap kawasan ada perkara yang dekat di hati pengundinya.

“Pendekatan kita perlu sesuaikan supaya membolehkan citarasa pengundi dapat kita tahu dan usaha tunaikan,” jelas beliau.

Mengulas tentang calon, kata Mohd. Shafie, DAP akan membuat keputusan dan nama tersebut akan diumumkan nanti kerana masih ada dua minggu persediaan.

Bercakap mengenai usaha kerajaan negeri memajukan Sabah, menurut beliau pelbagai usaha sudah dilaksanakan cuma kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk melihat kesannya.

“Saya yakin dalam masa tertentu kita akan dapat tingkatkan pelaburan daripada syarikat-syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia kerana mereka mempunyai modal.

“Kerajaan sedang melakukan segala-galanya untuk mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Sabah walaupun tidaklah sepantas yang diharapkan rakyat,” tambahnya – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *