UiTM FC ikat Sabah di Likas

PEMAIN Sabah, Luiz Carlos Junior (tengah) melakukan tandukkan kearah pintu gol UITM FC, pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting.

KOTA KINABALU: Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan Sabah apabila sekadar seri 1-1 dengan UiTM FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam tadi. 

Tuan rumah terlebih dulu memiliki peluang baik pada minit ke-18 hasil cubaan pertahanan import Park Taesu, namun sepakannya tinggi melepasi palang walaupun penjaga gol UiTM FC, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris sudah tertewas. 

Sabah kemudian memiliki dua peluang baik pada minit ke-41 dan 45 menerusi Luis Carlos Junior namun cubaannya itu diselamatkan Nor Haziq walaupun dalam keadaan satu lawan satu dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama. 

Pada babak kedua, skuad Tambadau bermula garang dan berjaya memperoleh jaringan pertama menerusi Rodoljub Paunovic yang menanduk kemas hantaran Randy Baruh pada minit ke-49 bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Sabah kemudian hampir menambah jaringan pada minit ke-55 namun rembatan Luka Milunovic sekadar singgah di palang walaupun penjaga gol lawan sudah tertewas. 

Pada minit ke-57, giliran Alto Linus pula memiliki peluang, namun rembatan kencangnya sekadar melepasi palang gol. 

Nor Haziq kemudian sekali lagi menjadi penyelamat buat pasukannya apabila berjaya menepis keluar cubaan sepakan percuma Milunovic pada minit ke-68.

Pada minit ke-79, penyerang import UiTM FC, Robert Waly Lopez Mendy hampir menyamakan kedudukan namun cubaannya terkena tiang walaupun penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim sudah tertewas dan cubaan susulan oleh Mohammad Amer Azahar selepas itu juga berjaya diselamatkan. 

Gol yang dicari-cari UiTM FC berjaya diperoleh hasil sepakan percuma leret Robert yang terus menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah terus melakukan serangan demi serangan namun gagal diterjemahkan kepada jaringan, sama ada diselamatkan penjaga gol atau tidak menepati sasaran dengan kedudukan 1-1 kekal sehingga pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad meniupkan wisel penamat. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *