Sabah Tidak Naikkan Tarif Air – Peter Anthony

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony

Tarif air di Sabah kekal

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak bercadang menaikkan tarif air selepas mengambil kira kepentingan rakyat yang dijangka terbeban jika berlaku kenaikan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony, berkata kadar itu dijangka kekal sehingga pengumuman dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kita kekal (tarif air)… kita faham orang (rakyat) di luar sana pun begitu susah ketika ini. Jadi kita kekalkan sehingga ia diumumkan oleh Ketua Menteri,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di Wisma Kementerian Pembangunan Infrastruktur di sini, hari ini.

Sebelum ini, enam negeri bersetuju menaikkan tarif air seperti diumumkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, baru-baru ini bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna.

Sementara itu, mengulas mengenai MoU berkenaan, Peter menyifatkan kerjasama dengan CIDB dapat membantu menjimatkan kos JANS, sekali gus memperkasa pemegang lesen yang melakukan kerja di bawah jabatan itu.

“Saya menyedari, apabila kita buat pembaharuan lesen untuk pemegang lesen, didapati mereka ini berusia lebih 60 tahun dan tiada kemahiran asas untuk melakukan kerja di JANS.

“Saya percaya melalui MoU ini akan dapat meningkatkan lagi kemahiran semua pemegang lesen menerusi bengkel kerana kebanyakan pemegang lesen tidak mempunyai kelayakan atau kemahiran asas,” katanya.

Terdahulu, terdapat lebih 2,000 pemegang lesen yang berdaftar di bawah JANS, hanya lebih 500 pemegang lesen yang mempunyai kelayakan.

Yang turut hadir menandatangani MoU itu Pengarah JANS, Ir Amarjit Singh dan Ketua Pegawai Operasi CIDB, Tadzul Radim. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *