PRK Rantau: Jentera, penyokong PH bertumbuk sesama sendiri

Difahamkan pertengkaran tercetus selepas media melaporkan keputusan tidak rasmi PRK Rantau yang memihak kepada calon BN. – KIniTV

RANTAU: Pertengkaran tercetus di bilik gerakan utama Pakatan Harapan sehingga melibatkan kekasaran fizikal di antara jentera parti itu pada Sabtu.

Pergaduhan itu difahamkan terjadi selepas media melaporkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau yang memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, menurut laporan portal berita Malaysiakini.

Difahamkan situasi tegang itu berlaku apabila ahli PKR dari Kuala Lumpur menyalahkan ahli parti dari kalangan penduduk tempatan susulan keputusan yang tidak memihak kepada calon mereka, Dr S Streram.

Berdasarkan video yang dimuat naik Malaysiakini, berlaku adegan jerit-menjerit menggunakan kata-kata kesat selain beberapa orang dilihat mula tolak-menolak sesama mereka.

Tidak lama selepas itu, situasi bertukar menjadi semakin ganas di mana beberapa orang dilihat mula bertumbuk.

Seorang wartawan yang berada di tempat kejadian dikatakan dipaksa berhenti merakam pergaduhan tersebut dan seterusnya telefon bimbitnya dirampas oleh seorang  individu yang berada di situ.

Difahamkan bahawa pihak polis ketika ini berada di tempat kejadian dan ketika insiden itu berlaku, keputusan rasmi PRK Rantau belum diumumkan lagi. – Awani

https://www.facebook.com/TeamIstiqomah/videos/984769198580049/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *